KKMM Salur Bantuan Lebih RM2 Juta Untuk Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan menyalurkan bantuan segera kepada mangsa banjir berjumlah RM2.18 juta yang disumbangkan melalui agensi-agensi di bawahnya.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan bertanggungjawab untuk menyelaraskan agihan bantuan tersebut.

Selain itu, Annuar berkata MyCreative Ventures, sebuah agensi di bawah KKMM juga menyumbangkan 2,000 unit Kotak Kasih berupa bakul makanan dengan kerjasama Shopee Malaysia untuk mangsa-mangsa banjir.

“Pada masa sama, kerjasama juga dijalinkan dengan Rumah Prihatin @Grand Seasons di sini dengan bantuan 2,000 pek makanan disediakan setiap hari dan 50 bilik penginapan sementara untuk mangsa banjir.

“Kementerian juga telah mengenal pasti 130 keluarga warga KKMM dan agensi di bawahnya menjadi mangsa banjir dan bantuan segera berupa makanan serta pakaian turut disalurkan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Annuar beliau telah meminta KKMM menggerakkan semua aset, bantuan dan kakitangan termasuk Komuniti Keluarga Malaysia untuk membantu mangsa banjir sejak semalam dan setakat ini 12 pacuan empat roda telah digerakkan selain mewujudkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di agensi yang mempunyai ruang serta fasiliti bersesuaian.

“Buat masa ini, sebuah PPS disediakan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Kompleks Studio Merdeka, Hulu Kelang yang boleh menempatkan 1,000 mangsa banjir,” katanya.

Selain itu, beliau berkata semua pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di negeri-negeri terjejas banjir sedang bekerjasama dengan pemberi perkhidmatan dan bomba dalam melaksanakan usaha memulihkan perkhidmatan Internet di kawasan terlibat.

Dalam pada itu, Annuar menggesa orang ramai supaya terus mendapatkan maklumat terkini berkaitan situasi banjir daripada sumber sahih, dan pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang bekerjasama menyalurkan maklumat tepat dan pantas.

“Jabatan Penerangan Malaysia melalui Info on Wheels (IOW) akan melaksanakan hebahan awam di peringkat daerah seluruh negara dengan tumpuan di kawasan banjir dan berpotensi banjir,” katanya sambil meminta orang ramai yang ingin mendapatkan bantuan di Rumah Prihatin @Grand Seasons menghubungi 1800-88-7997 atau talian Bilik Gerakan Bencana KKMM di 03-88618427.

Annuar berharap semua mangsa banjir agar tabah dalam menghadapi ujian dan segala bantuan yang diperlukan akan diberikan segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terjamin.

Setakat ini, lapan negeri dilanda banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.