Kerajaan Beri Cuti Kecemasan Kepada Penjawat Awam Terkesan Banjir – PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Kerajaan bersetuju memberi cuti kecemasan kepada penjawat awam yang terkesan akibat banjir yang kini melanda beberapa negeri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

“Esok Isnin bermula hari kerja, jadi mereka perlu bekerja walaupun terpaksa berpindah (ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Kita faham kesusahan mereka, maka kerajaan setuju memberi cuti kecemasan akibat bencana ini.

“Kepada kakitangan awam yang terkesan akibat banjir, bila masuk kerja semula, bolehlah berbincang dengan ketua jabatan masing-masing untuk menentukan (cuti), saya harap bila dah balik rumah, selesaikan cuci rumah dan sebagainya, bolehlah bekerja semula. Untuk setakat ini, kita bagi cuti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan banjir di sini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menyeru majikan-majikan swasta supaya mengambil inisiatif sama sebagaimana dilakukan oleh kerajaan dengan memberikan cuti kecemasan kepada pekerja mereka yang terkesan akibat banjir.

“Kalau mereka setuju beri (cuti), dua perkara kita syaratkan iaitu tidak boleh ditolak daripada cuti tahunan dan tidak boleh dipotong gaji…kalau cutinya lima hari, tak boleh potong gaji, (ia) cuti berbayar,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata walaupun dari segi perundangan, tiada undang-undang yang boleh memaksa majikan memberi cuti kepada pekerja, namun perkara itu perlu dilakukan atas dasar kemanusiaan.

Selain itu, beliau akan berbincang dengan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan supaya turut berunding dengan pihak majikan.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata situasi di beberapa negeri yang dilanda banjir sudah beransur pulih walaupun paras air masih meningkat di sesetengah kawasan di Kelantan, Pahang dan Terengganu.

“Oleh kerana negeri di pantai timur telah pun sentiasa bersedia dengan banjir di musim tengkujuh, isunya mungkin ada tapi tidaklah seperti di Selangor yang banjirnya begitu mendadak,” kata beliau. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.