Kerajaan Pimpinan Ismail Sabri Mampu Bawa Malaysia Ke Tahap Lebih Tinggi – UMNO Ketereh

KOTA BHARU, 18 Dis – Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat mampu membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi ketika rakyat masih berdepan dengan penularan wabak COVID-19.

Ketua Penerangan UMNO Ketereh Datuk Roslan Ab Hamid berkata keyakinan ini dapat dilihat apabila beberapa masalah dan cabaran yang membelenggu rakyat dapat diatasi oleh Perdana Menteri menerusi pelbagai agenda serta perancangan yang diatur dengan berkesan.

“Ketika ini, antara perkara yang dikhuatiri rakyat mengenai pandemik COVID-19 ialah sama ada ia akan berterusan dalam jangka panjang atau sebaliknya sehingga boleh menjejaskan sumber kewangan mereka.

“Oleh itu, usul yang diluluskan menerusi mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Ketereh hari ini jelas memberi sokongan penuh kepada pimpinan Ismail Sabri,” katanya selepas majlis perasmian mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di Yayasan Kemiskinan Kelantan semalam.

Terdahulu, UMNO Ketereh sebulat suara meluluskan usul menyokong penuh kepimpinan Ismail Sabri sehingga 2023 dalam usaha memulihkan ekonomi, keselamatan rakyat, politik dan sosial setelah negara dibelenggui pandemik COVID-19 sejak tahun lepas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.