20 ‘Hot Spot’ Banjir Di Melaka Perlu Diberi Tumpuan Segera

ALOR GAJAH, 18 Dis – Kerajaan Melaka mengenal pasti lebih 20 kawasan ‘hot spot’ banjir di negeri ini dan akan diberi keutamaan dalam kerangka pembinaan saluran air bagi mengatasi bencana tersebut yang kerap berlaku.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata ini termasuk kawasan yang berpotensi berlakunya banjir walaupun hujan tidak lebat.

”Kita akan lihat puncanya, mungkin daripada saliran dan longkang yang mesti diperbesarkan ataupun sungai yang perlu didalamkan. Itu untuk penyelesaian jangka masa pendek,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di Kampung Pulau di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di daerah Alor Gajah terutama Lubok China.

Katanya, kajian sebelum ini sudah ada untuk dilaksanakan dan sedang menunggu peruntukan daripada kerajaan Persekutuan, manakala yang berada di bawah kerajaan negeri akan dilakukan secepat mungkin.

”Insya-Allah beri sedikit masa lagi. Semua sedia maklum bahawa bajet atau peruntukan kerajaan negeri tidaklah besar untuk menampungnya. Bagaimanapun, semua ini telah diambil kira dan mana-mana perkara atau peruntukan yang perlu dimajukan kepada pihak pusat, kita akan lakukan,” katanya.

Mengenai banjir di Lubok China yang setakat pukul 11 pagi tadi melibatkan 71 mangsa daripada 15 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Telok Berembang, Sulaiman telah mengarahkan pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan segera. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.