KPKT Perkenal Anugerah Rosa Sinensis Mulai 2022

TANGKAK, 17 Dis – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperkenalkan Anugerah Rosa Sinensis sebagai satu inisiatif penarafan kepada taman awam dan kawasan hijau yang dirancang, dibangun dan diurus secara komprehensif yang memenuhi fungsi pembangunannya.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata anugerah berkenaan diberikan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan, agensi kerajaan dan pemaju yang menunjukkan komitmen berterusan untuk memastikan taman awam dan kawasan hijau yang dibangunkan memberi impak yang positif kepada komuniti, alam sekitar perbandaran dan biodiversiti bandar.

Beliau berkata pelaksanaan anugerah seperti ini akan menggalakkan semua pihak yang berkepentingan iaitu PBT, pemaju, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti bekerjasama bagi mencapai matlamat penyediaan taman awam dan kawasan hijau yang berkualiti.

“Jabatan Landskap Negara akan mula melaksanakan program Anugerah Rosa Sinensis ini bermula 2022 dan saya berharap melalui inisiatif ini, semua pihak berkepentingan mengambil tanggungjawab bersama dalam memastikan rakyat mendapat kemudahan yang selamat dan berkualiti,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Taman Awam Tanjung Agas di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Ayub Jamil.

Sementara itu, jelas Reezal Merican, Taman Awam Tanjung Agas berkeluasan 2.86 hektar itu dibangunkan oleh kerajaan Persekutuan dengan kos sebanyak RM8.03 juta dan mula dibuka kepada umum pada 16 Sept 2020.

Beliau berkata taman berkenaan yang direka dengan konsep warisan menonjolkan cerita rakyat Puteri Gunung Ledang, merupakan satu projek pembangunan landskap bagi penyediaan infrastruktur hijau yang berfungsi dan mampan sebagai teras penghijauan perbandaran dan pemeliharaan spesies tumbuhan.

“Di sini kita akan dapat lihat elemen landskap kejur di kawasan taman terutamanya pada lampu, papan tanda masuk taman yang bermotifkan tujuh dulang berukir, dinding sejarah dan dinding informasi, selain datarannya juga diilhamkan daripada bentuk cucuk sanggul Puteri Gunung Ledang.

“Pembinaan taman seperti ini dilakukan adalah untuk menyediakan manfaat kepada rakyat dengan keterangkuman dan hak untuk hidup dalam persekitaran yang harmoni, selamat dan berdaya tahan, dengan penghijrahan penduduk ke kawasan bandar kini telah mencapai 75 peratus,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.