Sektor Perbankan Digesa Terus Bantu Peminjam Berdepan Kesulitan Kewangan

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa bank-bank agar terus membantu peminjam yang menghadapi kesulitan kewangan untuk membayar semua pinjaman mereka dan menangguhkan tindakan undang-undang terhadap peminjam yang gagal membayar balik hutang.

Beliau berkata, peminjam yang masih memerlukan bantuan disarankan untuk segera menghubungi bank masing-masing bagi membincangkan pilihan penstrukturan dan penjadualan semula yang bersesuaian.

‘‘Kerajaan mengambil maklum usaha sektor perbankan yang tidak terlalu cepat mengambil jalan mudah untuk terus meletakkan mereka yang benar-benar menghadapi kesulitan dalam senarai hitam peminjam atau senarai muflis,’’ katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, walaupun kadar muflis telah berkurangan sebanyak 50 peratus selepas sektor ekonomi mula dibuka secara berperingkat sejak Oktober lalu, namun ekonomi Malaysia akan mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.

Sehubungan itu, peminjam yang baharu atau masih sukar mendapat pekerjaan, terutamanya golongan B50, wajar disokong sebaik mungkin sehingga mereka mampu berdiri teguh semula bagi memastikan kelangsungan hidup.

Pada masa yang sama, katanya, Kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia juga telah meningkatkan nilai ambang kebankrapan kepada RM100,000 untuk memberi perlindungan kepada mereka yang mungkin masih tidak dapat bertahan dari segi kewangan akibat kesan pandemik.

Peruntukan ini dibuat berdasarkan Akta Insolvensi (1967) dan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) (2020).

URUS

Perdana Menteri berkata, dalam usaha menyokong peminjam daripada golongan B50, seperti mana yang diumumkan pada 13 Oktober 2021, industri perbankan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sedang giat melaksanakan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) bagi peminjam B50 yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Peminjam yang layak dan berhasrat untuk memohon kemudahan di bawah URUS boleh berhubung dengan bank masing-masing sebelum 31 Januari 2022,” katanya.

Di bawah URUS, peminjam juga akan diberikan bantuan secara menyeluruh termasuk pelan kewangan peribadi yang disesuaikan berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing, mengambil kira semua jenis pinjaman dengan institusi perbankan di bawah nama mereka.

Menurutnya, kerajaan juga mengambil maklum bahawa sektor perbankan telah melaksanakan URUS secara telus dan adil bagi membantu peminjam B50 yang mempunyai pendapatan isi rumah sehingga RM5,880 serta kehilangan pekerjaan atau kehilangan pendapatan melebihi 50 peratus daripada pendapatan isi rumah akibat pandemik.

TEKUN, BSN & Agrobank

Ismail Sabri berkata, selain program URUS, peminjam masih boleh mendapatkan bantuan lain daripada bank masing-masing yang sesuai dengan keperluan dan keadaan kewangan mereka.

Sementara itu, bagi pengusaha mikro pula, sebanyak RM1.8 bilion telah diperuntukkan melalui TEKUN Nasional, Bank Simpanan Nasional dan Agrobank yang memberi pembiayaan pada kadar kosong peratus (0 peratus) selama sekurang-kurangnya enam bulan bagi saiz pinjaman sehingga RM75,000 dan moratorium segera antara 6 hingga 12 bulan, tertakluk kepada terma dan syarat.

Kerajaan juga menitikberatkan perlindungan sosial bagi golongan B40, katanya.

Sehubungan itu, menerusi Bajet 2022, antara penambahbaikan inisiatif perlindungan sosial termasuklah kemudahan baucar perlindungan Tenang yang dinaikkan kepada RM75, meneruskan Elaun Mencari Pekerjaan tambahan dan meningkatkan siling gaji yang diinsuranskan daripada RM4,000 kepada RM5,000 untuk menambah baik liputan keselamatan sosial bagi sembilan juta pekerja yang dilindungi oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Memandang ke hadapan, Kerajaan juga telah mengaktifkan semula Majlis Perlindungan Sosial (MySPC) yang sedang giat membentuk dasar keselamatan sosial yang komprehensif dan bersepadu bagi jangka masa panjang,” tambahnya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.