Rusuhan 13 Mei: Dedah Buku Punca Sebenar Peristiwa Berlaku – PTD

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Perarakan meraikan kemenangan yang dilakukan oleh parti politik selepas memenangi Pilihan Raya Umum 1969, yang menyimpang daripada laluan asal antara punca terjadinya rusuhan kaum 13 Mei, dedah buku ‘May 13, 1969: A Racial Riots In Security Perspective’ yang dilancarkan hari ini.

Buku setebal 324 halaman yang diterbitkan oleh Kelab Pegawai Regimen Askar Melayu Diraja juga mendedahkan, perarakan parti berkenaan yang disertai selain daripada anggota parti juga dituruti oleh anggota kumpulan kongsi gelap dan agen-agen komunis.

Perarakan berkenaan telah keluar daripada laluan yang dibenarkan dan melalui Kampung Baru, Kuala Lumpur yang diduduki oleh orang Melayu, sambil mengeluarkan kata hinaan dan celaan.

Berikutan itu, penduduk kampung berkenaan mengadakan perarakan balas, sehingga menyebabkan terjadinya rusuhan pada 13 Mei.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain dalam ucapan semasa melancarkan buku berkenaan berkata buku tulisan Mejar General (Bersara) Datuk Dr Nordin Yusuf itu, perlu dibaca generasi sekarang dan masa depan agar kejadian yang sama tidak berulang.

Beliau berkata peristiwa berkenaan yang merupakan detik hitam dalam sejarah perpaduan kaum di negara ini, perlu dipastikan tidak berlaku lagi kerana ia merugikan negara.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada penulis atas usaha murninya menulis peristiwa sejarah ini, dan gariskan penglibatan Tentera Darat dan Rejimen Askar Melayu Diraja,” katanya pada majlis berkenaan yang diadakan di Wisma Perwira Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Turut hadir bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar dan Presiden Kelab Pegawai Rejimen Askar Melayu Diraja Brig Jen (Bersara) Datuk Ahmad Zaki Mahmud.

Selain itu, Zamrose berkata peristiwa berkenaan turut menonjolkan sikap profesionalisme Angkatan Tentera Malaysia, yang menyerahkan kembali kuasa kepada kerajaan yang sah selepas ketenteraman awam dapat dikembalikan.

Buku berkenaan yang dijual dengan harga RM150 senaskah boleh dibeli dengan menghubungi secara terus kepada penerbit buku itu iaitu Casamas Resources Sdn Berhad. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.