RUU MA63: Abang Johari Zahir Penghargaan Kepada Ahli Parlimen

SARATOK, 15 Dis – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengalu-alukan dan menzahirkan penghargaan atas kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Rakyat semalam.

Justeru, beliau amat berterima kasih kepada Ahli Parlimen kerana memberi sokongan kepada RUU Pindaan itu yang menyaksikan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia akan dapat diperkukuh.

“Inilah semangat yang kami di Sarawak khasnya dan mungkin rakan kita di Sabah kehendaki dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Warta Rizab Komunal Bumiputera dan Surat Hak Milik Tanah kepada penerima di Roban Selatan di sini.

Semalam, RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan MA63 diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat yang menyaksikan MA63 diletakkan setaraf dengan Perjanjian Persekutuan 1948 dan Perjanjian Persekutuan 1957.

RUU itu memperinci peringkat pembentukan dan hala tuju Malaysia daripada Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan hala tuju Persekutuan Tanah Melayu 1957 apabila Perlembagaan Persekutuan diterima pakai pada 1957.

Terdahulu, Abang Johari dalam ucapannya berkata kelulusan RUU itu juga merupakan sebahagian daripada usaha Gabungan Parti Sarawak sebelum ini yang komited mempertahan hak seperti dalam MA63 mengikut lunas undang-undang.

“Begitulah cara kita berjuang, kita tidak cakap merdeka saja, keluar saja (dari Malaysia), itu ‘paloi’ (bodoh) punya kerja,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.