PUNB Peruntuk Dana Lebih RM500,000 Untuk Pelbagai Inisiatif Pendigitalan Tahun 2022

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) memperuntukkan lebih RM500,000 dana untuk pelbagai inisiatif pendigitalan tahun depan.

Peruntukan yang terdiri daripada geran padanan dan program subsidi itu bertujuan mempercepatkan penerimaan digital dalam kalangan Rakan Usahawan PUNB dengan objektif memastikan usahawan Bumiputera kekal berdaya tahan dan berdaya saing dalam menghadapi landskap ekonomi semasa.

Dalam satu kenyataan, pengerusi Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata antara inisiatif yang sedang dilaksanakan ialah Rakan Usahawan PUNB @ 100 Go Digital, anjuran bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Di bawah program itu, Rakan Usahawan PUNB akan dilatih oleh jurulatih yang dilantik oleh MDEC mengenai analisis data dan pemasaran digital.

PUNB juga menganjurkan program Rakan Usahawan PUNB @ Ecommerce Onboarding untuk membantu mereka yang berminat menjalankan jualan e-dagang, dengan subsidi dalam bentuk baucar dan pakej promosi diberikan.

“Insentif ini telah terbukti membantu Rakan Usahawan PUNB yang menyertai program ini pada fasa awal, yang antara lain sebanyak 6,800 jualan bernilai RM728,000 dijana melalui baucar, manakala purata jualan berkaitan Rakan Usahawan PUNB meningkat 1.4 kali ganda,” katanya.

Tambahnya, PUNB juga akan melaksanakan permohonan pembiayaan secara digital bagi memudahkan proses permohonan.

“Pada masa ini, PUNB sedang mengemas kini urusan pembiayaannya dengan tempoh pemprosesan permohonan adalah antara 35 dan 65 hari, tetapi ia boleh dipercepatkan.

“Sebagai contoh, tempoh masa untuk memproses pinjaman di bawah RM200,000 dijangka dikurangkan kepada dua minggu berbanding 35 hari untuk membantu usahawan mencergaskan perniagaan mereka dengan lebih cepat, sekali gus meningkatkan pertumbuhan perniagaan mereka,” katanya.

Ahmad Nazlan berkata pandemik COVID-19 telah mengubah landskap perniagaan secara drastik dan Rakan Usahawan PUNB tidak terkecuali.

Ahmad Nazlan berkata pandemik COVID-19 telah mengubah landskap perniagaan secara drastik dan Rakan Usahawan PUNB tidak terkecuali.

“Bagaimanapun, mereka masih boleh bersaing jika ada yang bijak melihat perubahan itu sebagai peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka terutamanya melalui kemajuan teknologi pada masa kini,” katanya.

Untuk tahun ini, PUNB telah meluluskan pembiayaan RM189 juta melibatkan 325 syarikat.

Sehingga 31 Okt, 2021, sejumlah RM165.8 juta telah diperuntukkan kepada 457 usahawan melibatkan 316 syarikat.

Sejumlah RM3.5 bilion nilai pembiayaan telah disalurkan kepada 11,564 usahawan daripada 8,086 syarikat sejak penubuhannya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.