Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands Dibuka Semula Mulai Jumaat

IPOH, 14 Dis – Kedua-dua laluan di Seksyen 27 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini yang ditutup akibat kejadian tanah runtuh pada 2 Dis lepas akan dibuka semula kepada semua jenis kenderaan bermula Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Awam, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata laluan itu djangka dibuka sepenuhnya pada sebelah pagi selepas kerja-kerja pembersihan dan pembinaan longkang selesai.

“Buat sementara ini, pihak konsesi sedang membersihkan jalan dan pembinaan longkang aliran air di tepi jalan bagi mengelakkan pergerakan tanah berlaku dan setakat ini tiada laporan berkaitan pergerakan tanah lagi,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata semua pengguna jalan raya diminta berhati-hati ketika menggunakan laluan berkenaan yang keadaannya berbukit dan bercerun terutama ketika cuaca hujan bagi memastikan keselamatan nyawa mereka dan keluarga.

Pada 2 Dis lepas, dua maut selepas kenderaan dinaiki iaitu Toyota Alphard dan sebuah lori tertimbus dalam runtuhan tanah menyebabkan laluan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan.

Sementara itu, Mohd Zolkafly berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perak telah diarahkan untuk mengambil tindakan segera bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan mendapan tanah di Laluan Persekutuan FT239 Jalan Ampang-Jelapang di sini yang telah berlanjutan hampir dua bulan.

“Ia berikutan keperluan mendesak oleh pengguna jalan raya sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa terutama ketika waktu puncak dan hujung minggu,” katanya dan menambah hakisan tanah yang berlaku pada 19 Okt lepas dipercayai berpunca daripada resapan air kesan kebocoran longkang tepi jalan menyebabkan laluan kiri ditutup. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.