Pelan Perak Sejahtera 2030 Dijangka Siap Februari 2022

IPOH, 13 Dis – Roadmap Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan pada 29 Mac lepas sebagai pemandu arah jentera kerajaan dalam pembangunan negeri untuk tempoh 10 tahun akan datang, dijangka siap pada Februari 2022.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata penyediaan pelan itu kini berada dalam fasa ketiga iaitu membabitkan libat urus bersama pihak berkepentingan di peringkat daerah.

“Fasa ini melibatkan pembangunan inisiatif strategik dan program serta pelan tindakan mengikut daerah pentadbiran di negeri Perak.

“Pada fasa keempat pula akan melibatkan penyediaan pelan pemantauan dan draf akhir pelan yang dijangka siap pada suku pertama 2022,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Chenderiang) yang dibacakan oleh Paul Yong Choo Kiong (Bersatu-Tronoh) yang ingin tahu mengenai status semasa pembangunan pelan itu dan sasaran pencapaian pelan berkenaan dari aspek Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebagai pengukur utama perkembangan ekonomi negeri.

Menurut Saarani, pelan pembangunan fasa pertama telah dijalankan melalui sesi libat urus bersama agensi-agensi kerajaan iaitu dua siri bengkel telah dianjurkan dengan memuktamadkan visi, misi, teras strategik dan nilai bersama.

“Fasa kedua pula telah dilaksanakan melibatkan sesi libat urus bersama anggota pentadbiran Kerajaan Negeri dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Inisiatif strategik, sub-inisiatif strategik dan pelan tindakan mengikut portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri telah dihasilkan pada fasa ini,” katanya.

Saarani berkata pelan pembangunan itu dibangunkan berlandaskan tiga prinsip utama iaitu inklusif, realistik dan boleh capai serta berpaksikan kepada matlamat Perak Makmur Rakyat Sejahtera dengan tujuan memacu pembangunan sosioekonomi yang mapan, inklusif dan dinamik.

Oleh itu, beliau berkata pelan berkenaan dibangunkan dengan menggarap pelan-pelan sedia ada termasuklah Rancangan Pembangunan 5 tahun Malaysia (RMK), Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Struktur Negeri (RSN), Rancangan Tempatan Daerah (RTD) dan lain-lain rancangan yang relevan.

Beliau berkata pelan itu juga menggariskan strategi-strategi yang berpandukan kelebihan dan potensi negeri agar dapat menyokong pengembangan industri tradisional, ekonomi digital, jaminan keselamatan makanan, pelancongan serta memacu kemunculan industri baharu atau ‘emerging industry’ seterusnya menyumbang kepada peningkatan KDNK negeri.

Katanya pelan itu turut mengambil kira situasi pandemik COVID-19 yang melanda dan keadaan ekonomi negara yang menjadi asas kepada rancangan jangka masa panjang tersebut. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.