Semangat Kebersamaan Perlu Disemarak Dalam Tempoh COVID-19

ISKANDAR PUTERI, 11 Dis – Semangat kebersamaan kaum di negara ini perlu disemarakkan kembali terutamanya dalam tempoh negara berdepan dengan pandemik COVID-19, yang menghentikan pelbagai sektor termasuk sosial.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata pihaknya tidak mahu suasana pandemik mempengaruhi dan melemahkan ikatan sosial, sekali gus membuka ruang bagi tindakan agresif dan tidak rasional dalam kalangan rakyat di negeri ini.

“Amat merunsingkan apabila dapatan daripada beberapa kajian menunjukkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat negara ini semakin berkurangan.

“Situasi ini, jika tidak ditangani boleh menyebabkan perselisihan pendapat dan menimbulkan ketegangan kaum yang boleh menjadi ancaman terhadap kestabilan dan keharmonian negara,” katanya merasmikan Majlis Penutup Program Kebersamaan dan Integriti Kaum dan Program E-Ronda SRS 2021, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor Dr Chong Fat Full.

Sementara itu, Pengarah JPNIN Negeri Johor Suraya Wen dalam satu sidang media selepas program berkenaan berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program di peringkat komuniti bagi meningkatkan pengukuhan jati diri, patriotisme dan kesejahteraan komuniti.

“Tahun depan, kita telah merancang pelbagai inisiatif menerusi program ekonomi komuniti termasuk memperluaskan program Kebun Komuniti, melibatkan lebih banyak KRT dan untuk program rintis, kita telah mewujudkan (program Kebun Komuniti) di setiap daerah dan ianya dilihat berjaya,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.