Melaka Teliti Cadangan Wajibkan Ujian RTK Mingguan Di Sekolah Berasrama

MELAKA, 11 Dis – Kerajaan negeri Melaka akan memperhalusi cadangan mewajibkan ujian kit saringan pantas (RTK) secara mingguan ke atas guru dan kakitangan sokongan sekolah berasrama di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata cadangan itu amat baik dan boleh dibawa kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat untuk dibincangkan secara mendalam.

“Pada dasarnya kita boleh pertimbangkan cadangan tersebut, namun kena buat perbincangan dengan lebih lanjut, dapatkan laporan secara terperinci.

“Dalam masa sama, kita kena lihat implikasi daripada kos logistik kit ujian itu. Kalau Dr Akmal (Saleh)(Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri) boleh uruskan, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (Melaka) mengalu-alukan cadangan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Jubli Emas Hari Guru peringkat Negeri Melaka di sini hari ini.

Sulaiman berkata kerajaan negeri juga perlu melihat laporan situasi sebenar jangkitan COVID-19 di sekolah jenis berkenaan memandangkan setakat ini hanya terdapat satu kes melibatkan sebuah sekolah asrama di Selandar.

Beliau mengulas kenyataan Dr Muhamad Akmal yang mencadangkan agar mewajibkan semua guru, kakitangan sokongan dan pekerja swasta di sekolah berasrama menjalani ujian RTK setiap minggu bagi menjamin keselamatan pelajar.

Dr Muhamad Akmal sebelum ini dilaporkan berkata cadangan ujian secara mingguan itu susulan terdapat kes jangkitan COVID-19 di sekolah berasrama dipercayai berpunca daripada guru atau kakitangan sekolah berkenaan.

Pada majlis itu, Sulaiman turut menyampaikan Anugerah Tokoh Guru negeri Melaka kepada tiga penerima iaitu Datuk Md Rashid Hussin, Abdul Rani Embi dan Tan Cheng Kwang.

Di samping itu, sebanyak 45 orang guru menerima anugerah daripada pelbagai kategori termasuk Anugerah Ikon, Anugerah Khas Pendidikan, Anugerah Guru Cemerlang, Anugerah Guru Inovatif dan Anugerah Khas Pengarah JPN Melaka. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.