Perak Bentang Belanjawan 2022 Berjumlah RM1.1 Bilion, Tumpu Kebajikan Rakyat

IPOH, 10 Dis – Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad hari ini membentangkan Belanjawan 2022 berjumlah RM1.1 bilion yang dirangka berdasarkan kemampuan semasa Kerajaan Negeri Perak tanpa mengabaikan kebajikan rakyat.

Beliau berkata belanjawan yang bertemakan ‘Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif’ itu melibatkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM803 juta dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM302 juta.

“Daripada unjuran hasil dan perbelanjaan tersebut, Belanjawan 2022 dicadangkan sebagai belanjawan defisit RM50 juta,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.

Saarani berkata kutipan hasil kerajaan negeri merosot dengan ketara apabila data menunjukkan sebanyak RM797.5 juta dikutip sehingga 30 Nov lepas yang jauh lebih rendah berbanding unjuran RM1.03 bilion ketika kerajaan negeri membentangkan Belanjawan 2021.

Katanya menyedari penyusutan ketara kadar kutipan hasil pada awal enam bulan pertama tahun ini, kerajaan negeri telah melakukan tindakan segera dengan menyemak dan menyusun semula perbelanjaan mengikut keutamaan selaras dengan Seksyen 13 (b), Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61).

Beliau berkata tindakan penyusunan semula perbelanjaan telah berjaya mengecilkan defisit kerajaan negeri yang sehingga 30 Nov lepas, kedudukan kewangan adalah defisit RM99.4 juta, berbanding unjuran defisit asal iaitu RM154 juta.

Selain itu, Saarani berkata kerajaan negeri bersetuju meluluskan peruntukan kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk Speaker sebanyak RM300,000 merangkumi RM100,000 dalam bentuk geran secara langsung (OG) dan RM200,000 dalam bentuk projek kecil untuk masyarakat melalui Program Pemantapan Infrastruktur Bagi Memacu Kesejahteraan (PEMACU).

“Setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ditambah RM200,000 lagi, iaitu RM100,000 dalam bentuk OG dan RM100,000 dalam bentuk kerja-kerja pembangunan untuk manfaat rakyat dan boleh dibelanjakan merentasi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Setiap Pusat Khidmat ADUN diperuntukkan RM84,000 setahun, iaitu kenaikan sebanyak RM2,000 sebulan,” katanya.

Saarani berkata jumlah keseluruhan peruntukan untuk ADUN Perak adalah RM25 juta dan diharapkan penambahan peruntukan itu membolehkan mereka memberi perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan kepada rakyat.

Beliau turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,000 kepada setiap penjawat awam negeri yang akan dibayar seawal Januari 2022.

“Selain itu, sebagai usaha meningkatkan kemudahan kepada penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri, tambahan dana sejumlah RM1.0 juta disediakan untuk Kumpulan Wang Pendahuluan Membeli Kenderaan.

“Manakala, tambahan dana RM1 juta juga disediakan untuk Kumpulan Wang Pendahuluan Diri (Pegawai Awam),” katanya.

Persidangan ditangguhkan dan bersambung Isnin ini. – BERNAMA