MIC Akan Lancar Briged Pemuda, Wanita Tarik Penyertaan Dan Undi Golongan Muda

KULAI, 10 Dis – MIC akan melancarkan Briged Pemuda dan Wanita, esok, dalam usaha menarik lebih ramai golongan muda menyertai parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden MIC Tan Sri S.A Vigneswaran berkata briged itu juga akan berperanan sebagai platform untuk mereka berkongsi pandangan dan meluahkan perasaan mengenai pelbagai perkara seperti gejala sosial, peluang pekerjaan dan sebagainya.

“Kita memang letak sasaran (penyertaan briged), setakat ini kita ada 20,000 ahli MIC dan dengan adanya briged ini nanti, kita harap dapat tarik lebih ramai (penyertaan).

“Kalau boleh satu ahli boleh bawa tiga lagi individu untuk sertai briged ini dan kita harap ia boleh bertambah kepada kira-kira 60,000 ahli,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah pembinaan Dewan Kuil Sri Maha Saraswathy di sini hari ini.

Vigneswaran berkata pelancaran briged itu juga selari dengan pelaksanaan pengundi 18 tahun (Undi 18).

“Briged ini merupakan satu program yang berstruktur dan kita akan pastikan ia sentiasa digerakkan dan bukan hanya untuk persediaan PRU15 sahaja,” katanya.

Sementara itu, ditanya sekiranya perbincangan mengenai pembahagian kerusi PRU15 sudah bermula, beliau berkata perkara itu sedang berjalan.

“Kita memang ada berbincang supaya penyelarasan pembahagian kerusi dibuat awal, jadi calon-calon dapat diberi masa untuk bekerja.

“Namun buat masa ini, belum ada bilangan (calon), kerana yang paling mustahak adalah kerusi mana yang kita boleh menang,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.