GLC Tingkat Pembangunan Kampung Menerusi Program Pengangkatan

KUANTAN, 10 Dis – Kerajaan negeri Pahang memperkenalkan program kampung angkat melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dengan kampung terpilih bagi meningkatkan pembangunan dan kesejahteraan kampung terlibat.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata program yang dikenali sebagai Program Transformasi Desa Pahang itu akan bermula Januari tahun depan, melibatkan 29 syarikat dan 39 kampung termasuk penempatan Orang Asli.

“Peruntukan bagi pelaksanaan program ini akan ditanggung sepenuhnya oleh GLC terlibat dengan kadar peruntukan antara RM30,000 hingga RM50,000 setahun bagi setiap kampung, mengikut kemampuan syarikat tersebut.

“Pemilihan kampung dibuat oleh Pejabat Daerah dan Tanah dan pelaksanaannya akan memfokus kepada program melibatkan pendidikan, sosioekonomi seperti keusahawanan dan pertanian serta aktiviti sosial seperti gotong-royong, sukan, seni budaya dan kebajikan,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini bagi menjawab soalan Datuk Mustapa Long (BN-Padang Tengku) yang ingin tahu jumlah GLC kerajaan negeri terlibat dalam pelaksanaan program tersebut.

Bagi memastikan tiada pertindihan antara GLC, Wan Rosdy berkata setiap GLC terlibat dipadankan dengan keperluan sesebuah kampung, selain Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak telah meminta supaya semua pegawai daerah dilibatkan secara langsung dalam pelaksanaannya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad memaklumkan setakat 10 Nov lepas, sebanyak 142,234 orang atau 82.2 peratus remaja telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 dan 133,850 peratus atau 77.4 peratus telah lengkap vaksinasi tersebut.

Katanya, walaupun pusat pemberian vaksin (PPV) sekolah dan institusi pendidikan ditutup pada 31 Okt lepas, namun pelaksanaan pemberian vaksin masih diteruskan dengan pejabat pendidikan daerah dan pejabat kesihatan daerah sebagai penyelaras.

“Pihak sekolah akan mengumpulkan murid secara berkumpulan untuk dibawa terus ke klinik yang disenaraikan bersama-sama ibu bapa mereka selain suntikan masih diteruskan di sekolah di kawasan pedalaman atau sekolah yang mempunyai ramai murid berkeperluan khas,” katanya.

Syed Ibrahim menjawab soalan Lee Chin Chen (PH-Bilut) yang ingin tahu garis masa vaksinasi remaja di Pahang, juga memaklumkan pemberian vaksin kepada golongan tersebut akan diteruskan sehingga semua murid telah divaksin. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.