Najib Akan Terus Membela Diri, Menegakkan Kebenaran

Saya dibicara di mahkamah.

Saya juga dibicara di mahkamah rakyat.

Didapati bersalah dan dihukum penjara 12 tahun sebab hakim kata ianya bukan hak saya untuk sedekahkan RM42 juta yang saya tidak pernah sorok, tidak pernah minta dan tidak pernah arahkan untuk dipindah kepada akaun saya.

Bahawa ini adalah kesalahan bawah AMLA.

Malah mahkamah juga telah diberitahu oleh pihak Ambank dan SPRM bahawa saya turut menerima RM642 juta daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi yang saya juga telah sedekahkan sepenuhnya bagi pelbagai aktiviti CSR dan program Rakyat.

Saya tidak didapati bersalah mencuri RM42 juta untuk kegunaan peribadi saya.

Sebaliknya maklumat dan bukti bahawa keluarga dan proksi individu-individu tertentu yang merupakan saksi kes SRC yang telah didapati menerima sekurang-kurangnya RM65 juta dan RM85 juta untuk disorok dalam akaun Singapura tidak pula pernah didakwa dan diberikan peluang kepada saya untuk digunakan sebagai bukti baharu bagi pembelaan kes saya.

Sudah tentu, setiap individu termasuk saya juga akan dibicara di mahkamah akhirat nanti.

Saya mungkin tidak mempunyai kebebasan untuk mengulas lebih lanjut di sini mengenai proses mahkamah.

Tetapi saya katakan di sini bahawa sehingga hari ini, saya sentiasa menegaskan bahawa saya tidak bersalah dan telah dianiayai.

Saya akan terus membela diri dan menegakkan kebenaran di mahkamah dunia.

Peringkat rayuan seterusnya adalah Mahkamah Persekutuan dan saya percaya akan mendapat keadilan.

Sebagai seorang yang beragama Islam, saya nyatakan atas nama Allah.

Wallahi, wabillahi, watallahi bahawa saya tidak minta dan saya tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk memindahkan dana RM42 juta itu.

Mahkamah akhirat nanti hakimnya Allah.

Saya amat berterima kasih dan menghargai keyakinan, kepercayaan dan keprihatinan saudara-saudari semua.

Saya tahu ada yang hadir di mahkamah semalam, datang jauh dari Terengganu, dari Pahang, dari Johor dan tempat-tempat lain.

Saya ada lihat gambar-gambar yang dihantar kepada saya.

Ada yang datang menaiki bas sejauh Kedah, ada yang bekerja sambilan sahaja, menjual roti dan keperluan asas di kampung.

Ramai dari golongan wanita dan golongan B40 yang menghargai dasar-dasar berkebajikan kerajaan pentadbiran saya dahulu.

Awal minggu ini saya menerima kunjungan pemimpin-pemimpin parti, kenalan dan sahabat.

Sehari dua ini juga saya telah menerima panggilan-panggilan dan mesej-mesej daripada rakan-rakan.

Saya mungkin tidak dapat balas setiap satu, atau berjumpa dengan setiap seorang dan menyampaikan isi hati penghargaan saya.

Tetapi izinkanlah saya sampaikan di sini – terima kasih saudara-saudari atas sokongan dan kata-kata semangat yang disampaikan.

Bertenang.

Mungkin inilah perjalanan yang ditakdirkan.

Saya hadapi dengan tenang dan redha.

Saya akan terus membela diri dan menegakkan kebenaran di mahkamah dunia.

Ini bukan pengakhiran juga. Tidak sama sekali.

Kerana ikrar saya kekal, berjuang ke nafas akhir untuk kebajikan rakyat.

Semoga Allah SWT terus merahmati dan melindungi kita dan permudahkan segala urusan kita. – UMNO ONLINE

Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak
Bekas Perdana Menteri / Ahli Parlimen Pekan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.