DUN Sabah Pilih Noraini Idris Sebagai Senator Dewan Negara

KOTA KINABALU, 9 Dis – Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini meluluskan usul memilih Ketua Penerangan Wanita UMNO Negeri Sabah Noraini Idris sebagai Senator Dewan Negara bagi mewakili negeri itu.

Noraini yang juga seorang peguam dilantik bagi menggantikan Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Donald Peter Mojuntin yang tamat tempoh perkhidmatan sebagai senator hari ini.

Usul berkenaan dikemukakan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor dan disokong Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin sebelum diluluskan dengan undian terbanyak.

Noraini yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Sains Teknologi Sabah berasal dari Penampang, Sabah berketurunan Kadazan telah diterima dan didaftarkan sebagai peguam di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak pada 1994.

Beliau telah berkhidmat sebagai peguam bela dan peguam cara selama 27 tahun di Sabah serta mempunyai fima guaman sendiri ditubuhkan pada 2003, selain berpengalaman dalam pembangunan hartanah korporat, komersial serta perbankan kewangan.

Speaker DUN Datuk Kadzim Haji M Yahya kemudian menangguhkan persidangan dewan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.