RKMAT Bukit Jalil Kejayaan Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari MINDEF

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Pelancaran Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Taman LTAT Bukit Jalil pada bulan lepas adalah usaha Kementerian Pertahanan dalam menjayakan Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari kementerian berkenaan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata isu kebajikan seperti isu perumahan membabitkan anggota tentera terutamanya yang berkhidmat di bandar-bandar besar tidak akan dikompromi selagi beliau memegang portfolio berkenaan.

“(Isu perumahan untuk anggota) bagi saya adalah satu perkara yang tidak akan saya kompromi selagi saya memimpin Kementerian Pertahanan kerana ia dapat dirasai dan dilihat oleh mereka yang dibantu secara langsung.

“Saya boleh beri contoh seorang anggota tentera yang bertugas di Bukit Jalil menyewa bilik pada harga RM900 sebulan tetapi elaun sewaan yang diterima beliau hanya RM350, apa yang kita lakukan baru-baru ini dengan pelancaran RKMAT Bukit Jalil, kementerian membina rumah baru khusus di bandar supaya mereka dapat hidup dengan selesa,” katanya semasa temu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan RTM hari ini.

Kata Hishammuddin pelancaran RKMAT berkenaan menunjukkan apa yang diumumkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kementerian itu bukan sahaja di atas kertas tetapi akan dilaksanakan dengan jayanya.

RKMAT Bukit Jalil dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 3 Nov lepas dan mempunyai 2,000 unit dan dapat memenuhi 85 peratus keperluan anggota ATM di Lembah Klang.

Hishammuddin berkata kementeriannya juga memberi tumpuan dalam membela kebajikan veteran ATM yang menghadapi kesukaran susulan pandemik COVID-19.

Beliau berkata dalam kekangan kewangan yang dihadapi susulan pandemik COVID-19, tumpuan lebih akan diberikan kepada veteran yang uzur, berumur dan mereka yang tidak boleh bekerja.

Katanya terdapat seramai 204,020 veteran ATM berdaftar dan dalam keadaan batasan kewangan, kementeriannya buat keputusan untuk memberi fokus kepada mereka yang memerlukannya.

“Selepas keadaan kembali seperti sediakala dan kedudukan kewangan negara kembali kukuh, kami akan melihat kembali kebajikan veteran ini secara menyeluruh, tetapi buat masa ini kami fokus kepada mereka yang betul-betul memerlukannya sekurang-kurangnya mereka dapat sedikit keselesaan semasa tempoh ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.