Perbincangan VTL Laut Dijangka Seawal Januari Depan – Hasni
ISKANDAR PUTERI, 6 Dis – Pembukaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) laut yang menghubungkan Terminal Feri Tanah Merah, Singapura ke Terminal Feri Desaru Coast dekat Kota Tinggi, dijangka akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri (JMC) Malaysia- Singapura seawal bulan depan.
Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata kerajaan negeri berharap agar perbincangan mengenai pelaksanaan VTL laut itu dapat direalisasikan, selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri itu.
Beliau berkata sekiranya VTL laut dapat dilaksanakan, ia akan memberikan impak berkesan dan menyeluruh khususnya kepada sektor pelancongan.
“Terminal Feri Desaru Coast sudah siap tetapi belum beroperasi, kerajaan masih menunggu keputusan Khazanah Nasional Berhad yang memiliki terminal feri itu mengenai bentuk kerjasama dan perkara lain yang semuanya masih dalam perbincangan.
“Apa yang penting adalah kebenaran daripada kerajaan terhadap VTL laluan laut ini menerusi perbincangan dua negara,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Program Perantis Iskandar di sini, hari ini.
Tambah Hasni, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam lawatan rasminya ke Singapura pada 29 Nov lepas, ada membincangkan mengenai pembukaan VTL laut yang disambut baik oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.
“Perdana Menteri Lee turut memberikan reaksi bahawa pembukaan VTL laut itu boleh dipertimbangkan. Jadi, melalui JMC ini ia diharap dapat disegerakan,” katanya.
Semasa lawatan tersebut, Ismail Sabri bersama Lee turut melancarkan VTL darat antara Malaysia dan Singapura di Woodlands Checkpoint. – BERNAMA