7,477 Peserta Felcra Sarawak Terima Agihan Berjumlah RM46.6 Juta – Mahdzir

KUCHING, 5 Dis – Sejumlah 7,477 peserta Felcra di Sarawak menerima agihan keuntungan bernilai RM46.6 juta bagi 2021, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Setakat ini beliau berkata sejumlah RM31.6 juta telah diagihkan bagi tempoh Interim 1 dan 2, manakala selebihnya RM15 juta akan diagihkan pada Interim 3 yang dijangka selewat-lewatnya menjelang awal tahun hadapan.

“Keuntungan tahun ini meningkat lebih tinggi berikutan kenaikan harga sawit di pasaran kepada RM1,060 satu metrik tan berbanding RM280 satu tan metrik pada tahun sebelumnya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Mesra Peserta Felcra di Institut Tadbiran Awam Negara ( INTAN ) Kampus Wilayah Sarawak di hari ini.

Berucap pada majlis itu, Mahdzir berkata Felcra akan terus memperkasakan kegiatan perladangannya bagi memastikan semua pesertanya memperoleh manfaat yang maksimum.

“Berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Felcra Berhad menyasarkan untuk membuka lebih 1,000 hektar ladang baharu di seluruh Sarawak. Ia bakal mewujudkan peluang dan manfaat kepada hampir 700 peserta baharu dari Sarawak,” katanya.

Pada majlis itu, Mahdzir turut menyampaikan bantuan persekolahan kepada 100 pelajar golongan B40 serta bantuan bakul makanan kepada 100 keluarga Felcra. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.