Bidang Teknikal Kekal Relevan, Berkembang Selari IR4.0 – PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Bidang teknikal kekal relevan dan terus berkembang luas selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata untuk itu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion dalam Belanjawan 2022 untuk memperkasa bidang Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional atau TVET.

“Bidang ini sering disalah erti sebagai pilihan kedua dan hanya layak untuk individu yang kurang cemerlang dari segi pencapaian akademik. Sebenarnya, stigma itu sudah lapuk kerana graduan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan TVET, sebenarnya kian mendapat perhatian oleh majikan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2021, yang diadakan secara maya hari ini.

Ismail Sabri berkata negara kini mempunyai banyak syarikat berteraskan teknologi yang bertaraf dunia dengan majoritinya dipelopori warga profesion teknikal.

Beliau berkata dasar itu juga menyokong dasar-dasar pembangunan negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan melengkapi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

“Amat jelas di sini, inisiatif dan dasar yang saya sebutkan amat signifikan dengan semua lapisan profesion teknikal negara.

“Warga profesion teknikal berperanan penting untuk bersama-sama mengembleng tenaga ke arah menggerakkan negara dan melangkaui aspirasi rakyat dalam semua bidang pembangunan teknikal seperti kejuruteraan, kesihatan, penyelidikan, pendidikan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan sebagainya, bertepatan dengan tema sambutan HPTN 2021 iaitu ‘Menggerakkan Negara Melangkaui Aspirasi’,” katanya.

Ismail Sabri turut menyambut baik hasrat Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang mahu mencapai perkhidmatan awam berprestasi tinggi melalui pemimpin yang berkepakaran, berinovasi dan berani menghadapi cabaran bersandarkan nilai integriti, akauntabiliti dan ketelusan.

Justeru itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada warga profesion teknikal untuk mengisi jawatan strategik dan pembuat dasar negara, yang secara tradisinya diisi oleh golongan pengurusan, dalam merealisasikan perkhidmatan awam berprestasi tinggi.

“Saya yakin hasrat ini dapat direalisasikan kerana Malaysia mempunyai ramai bakat yang telah diiktiraf di pentas antarabangsa seperti Cik Fakhirah Khairuddin, Jurutera Mekanikal TESLA Inc. Amerika Syarikat dan Encik Mohammad Ruhaidi Abdul Rashid Jurutera Struktur, Pakar Rekabentuk dan Pengurus Kanan Teknikal di BMW Motorsport Jerman,” katanya.

Bagi sektor awam, Perdana Menteri berkata Malaysia juga boleh berbangga dengan agensi teknikal kerajaan seperti JKR, yang banyak berjasa kepada pembangunan infrastruktur negara dengan melaksanakan lebih RM500 bilion projek pembangunan infrastruktur sejak ditubuhkan pada 1872.

Antaranya adalah mempelopori penggunaan ‘Building Information Modeling’ (B-I-M), ‘I-Supervision’ dan e-Perolehan dalam pelaksanaan projek.

“Ini pastinya sebagai pemangkin serta ‘enabler’ kepada pelaksanaan teknologi IR4.0 yang berimpak tinggi seperti ‘3D Printing’, ‘I-o-T’, ‘Big Data’, ‘Virtual Reality’ dan ‘Augmented Reality’,” katanya.

Ismail Sabri berkata perkembangan global terkini khususnya IR4.0 yang berpaksikan kepada teknologi terkini dan menyasarkan persekitaran industri, ekonomi dan kehidupan yang lebih pantas, pintar dan dinamik, memerlukan negara memastikan para pekerja bidang teknikal dilengkapi dengan kemahiran terkini secara ‘upgrade’ dan ‘upscaling’, berdasarkan perkembangan teknologi dan keperluan industri masa hadapan.

Katanya, Malaysia juga perlu realistik dengan kemampuan generasi muda untuk diberikan pendedahan dan menyumbang kepakaran teknikal ke pentas antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama negara seantero dunia.

“Kerajaan bertekad mengukuhkan iltizam menjadikan Malaysia sebuah negara membangun seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.