GPS Tampilkan 24 Muka Baharu Untuk PRN Sarawak – Abang Johari

KUCHING, 3 Dis – Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menampilkan 24 muka baharu untuk menjadi calon mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Perkara itu diumumkan Pengerusinya Tan Sri Abang Johari Tun Openg namun beliau tidak memberikan butiran lanjut.

Bercakap kepada media selepas majlis penyerahan watikah kepada calon GPS yang dilakukan secara tertutup di sini, beliau berkata calon-calon baru ini yang turut terdiri dalam kalangan golongan berumur antara 30 dan 40 tahun akan didedahkan dengan politik ala Sarawak.

“Politik Sarawak adalah politik yang memperjuangkan masyarakat yang berbilang kaum, berbilang agama, berbilang budaya dan juga keturunan. Landskap politik Sarawak hanya orang Sarawak yang tahu,” katanya.

Menurutnya kalangan muka baru ini memiliki latar belakang profesion yang pelbagai yang membolehkan mereka menjalankan tanggung jawab mereka untuk berkhidmat kepada rakyat dengan cara mereka tersendiri.

“Inilah GPS. Apabila kita bercakap kita melakukannya. Sebenarnya semua profesion ada pada calon yang kita pilih. Ini akan menjamin kesinambungan (pembangunan) untuk Sarawak,” katanya.

Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata PBB akan meletakkan sekurang-kurangnya lapan calon muka baharu dalam PRN Sarawak ini dan menyatakan anak Ketua Menteri Sarawak kelima Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Azizul Annuar Adenan sebagai antara mereka.

Sementara itu, beliau mengesahkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong dalam PRN ini setelah menyandang kerusi DUN Satok sejak sembilan penggal lepas.

Menurutnya, selain beliau sebagai Presiden PBB, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing akan turut bertanding dalam pilihan raya negeri ini masing-masingnya bagi DUN Batu Kawah dan DUN Dudong.

Bagaimanapun beliau enggan menyatakan jumlah pembahagian kerusi antara empat komponen parti GPS yang turut melibatkan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

“GPS sebagai satu pasukan, satu parti. Ini kali pertama kami (bertanding dalam pilihan raya negeri sebagai) GPS,” katanya sambil menambah gabungan itu akan mengumumkan manifesto mereka untuk pilihan raya ini pada 8 Dis.

Pada PRN ke-11, kesemua parti gabungan yang kini di dalam GPS bertanding di bawah lambang Barisan Nasional (BN) sebelum membentuk GPS selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sehingga berita ini ditulis, senarai penuh calon GPS bagi PRN Sarawak ke-12 masih belum dikeluarkan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.