MEDAC Perkenal Aplikasi Mymall Bagi Kurangkan Kos Ditanggung Usahawan

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan melancarkan aplikasi ‘MyMall’ yang akan mengumpulkan semua platform e-dagang di bawah kementerian tersebut dalam masa terdekat.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata aplikasi tersebut untuk membantu usahawan tempatan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta penjaja memperluas pasaran perniagaan mereka dengan kos yang lebih rendah.

“Melalui aplikasi ini, kita hanya mengenakan caj sebanyak 20 peratus tanpa caj tersembunyi berbanding syarikat yang ada sekarang, yang mengenakan caj sehingga 35 peratus dan caj tambahan lain,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi MEDAC 2021.

Noh berkata pelancaran awal aplikasi itu dijangka akan diadakan pada bulan ini untuk mempromosi dan memperkenalkan aplikasi tersebut kepada usahawan dan pengguna.

Antara platform e-dagang yang akan digabungkan dalam aplikasi terbaharu MEDAC ini ialah WarungKu, UDA Angsana Mall, Orderla, Pybli dan beberapa platform di bawah kementerian.

Katanya inisiatif yang bakal menempatkan pelbagai produk tempatan termasuk makanan itu bertujuan untuk menyelaraskan kesemua platform di bawah kementerian bagi memudahkan penyampaian maklumat kepada pengguna.

“Mungkin dengan MyMall ini juga, isu seperti barangan dijual dengan harga tinggi dapat diatasi dengan caj perkhidmatan yang lebih rendah,” katanya.

Mengenai petunjuk prestasi utama (KPI) bagi pencapaian 100 hari yang ditetapkan, Noh berkata MEDAC telah berjaya mencapai sasaran untuk tiga kategori yang ditetapkan.

Tiga kategori sasaran itu ialah memulihkan usahawan dan koperasi terjejas melalui bantuan pembiayaan termasuk moratorium, membantu golongan yang hilang pekerjaan, belia dan graduan menceburi bidang keusahawanan serta memperkukuh daya tahan PKMS melalui adaptasi teknologi. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.