Jemaah Menteri Bincang Cadangan Baharu Projek HSR Pada Jumaat Ini

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memaklumkan hasil pertemuan beliau dengan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong termasuk cadangan baharu projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, dalam mesyuarat jemaah menteri pada Jumaat ini.

Ketika memaklumkan perkembangan itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata cadangan tersebut merupakan hasil perbincangan kedua-dua pemimpin berkenaan dalam pertemuan pada 29 November lepas.

“Namun ketika ini, belum ada tempoh masa khusus mengenai perbincangan cadangan projek HSR dan yang ada hanyalah kenyataan rasmi kedua-dua perdana menteri itu.

“(Pada masa ini) kerja-kerja berkaitan HSR dilaksanakan oleh EPU (Unit Perancang Ekonomi). Oleh itu, hala tuju selepas ini akan ditentukan oleh perdana menteri apabila hasil perbincangan beliau dimaklumkan kepada jemaah menteri,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Dalam pertemuan pada 29 November lepas, Lee menyatakan Singapura terbuka dalam menerima cadangan baharu Malaysia berkaitan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura biarpun dua negara jiran itu sebelum ini telah bersetuju untuk menamatkan projek tersebut.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan kedua-dua negara akan membincangkan perkara tersebut dan berharap menerima butiran lebih terperinci dari Malaysia. – BERNAMA