Hati-Hati Dengan Sindiket Sewa Tanah Untuk Lupuskan Sisa Toksik

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menasihatkan penduduk kampung agar tidak terpedaya dengan taktik yang dikenalpasti menyewa tanah mereka untuk melupuskan sisa toksik.

Menurut beliau maklumat berkenaan sebahagian besarnya diperoleh hasil aduan orang ramai yang mengesan taktik kotor sindiket tidak bertanggungjawab itu.

“Selain dijadikan tempat pelupusan, tanah disewa itu turut dijadikan transit untuk mereka melaksanakan perbuatan tersebut. Kita percaya sindiket berkenaan adalah daripada kilang-kilang haram yang tidak mendapat kelulusan kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

“Kerajaan negeri melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memantau perkara itu dan kita harap orang ramai akan terus membuat aduan kepada JAS jika mengesan perbuatan sindiket tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi Facebook beliau, di sini hari ini.

Mohd. Sharkar seterusnya menambah, JAS sebelum ini telah menangkap sindiket membuang sisa toksik dan ada antara mereka telah didakwa di mahkamah atas kesalahan itu.

Tambahnya lagi sindiket tersebut dikesan tidak menggunakan nama syarikat mereka sebaliknya melantik ejen bagi melupuskan sisa toksik berkenaan.

“Sebab itulah kita minta orang ramai yang mengesan taktik sindiket ini (lupus sisa toksik) segera melaporkan kepada JAS untuk kita ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri berkemungkinan menaikkan kadar denda yang lebih tinggi atas kesalahan pencemaran alam sekitar demi memberi kesedaran kepada semua pihak.

“Ini penting kerana kita mahu kilang-kilang di negeri ini melaksanakan elemen Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sejajar dengan agenda kelestarian dan pertumbuhan hijau,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.