Sultan Selangor Kurnia Darjah, Pingat Kepada 116 Individu

KLANG, 29 Nov – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan mengurniakan darjah dan bintang kebesaran kepada 116 orang penerima pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Keputeraan baginda ke-75 di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Berangkat sama ke istiadat itu, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Pada istiadat berkenaan, Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Harlina Samson dan Ketua Pemberita Kumpulan Media The Star Edward Rajendra J.S Henry Kandiah merupakan antara 28 individu yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Setia-Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S).

Sultan Selangor turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) kepada 39 orang penerima dan Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) juga kepada 39 individu.

Seramai 10 lagi individu turut dikurniakan Bintang Perkhidmatan Cemerlang sempena ulang tahun keputeraan baginda.

Sabtu lepas, Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan darjah dan bintang kebesaran kepada 57 orang penerima dalam suasana ketertiban istiadat mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi pencegahan wabak COVID-19.

Pada 10 Dis 2020, Sultan Sharafuddin menerusi kenyataan di Facebook rasmi Istana Selangor @Selangor Royal Office bertitah dan memutuskan untuk tidak mengadakan sebarang istiadat sempena Hari Keputeraan baginda ke-75 tahun lalu dan bakal dilaksanakan bergantung kepada keadaan semasa COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.