COVID : Kes Baharu Turun Lagi, 5,097 Kes Dilaporkan Hari Ini

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Kes baharu COVID-19 terus mencatat penurunan kepada angka 5,097 kes berbanding 5,501 semalam menjadikan jumlah kumulatif kes pandemik itu di negara ini sebanyak 2,619,577, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata nilai Rt kebangsaan juga terus menunjukkan penurunan kepada 0.97 hari ini berbanding 0.99 semalam.

“Daripada jumlah kes baharu yang direkodkan, 5,080 merupakan kes jangkitan tempatan manakala baki 17 adalah kes import,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan situasi COVID-19 di sini hari ini.

Memperinci lanjut, Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes baharu yang direkodkan itu, hanya 84 merupakan kategori tiga, empat dan lima manakala 5,013 kes adalah kategori satu dan dua.

Dalam pada itu, beliau berkata kes sembuh mencatat 5,352 kes menjadikan keseluruhan kes yang telah pulih adalah 2,522,045.

Dr Noor Hisham berkata 423 kes pula dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 171 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sebanyak lapan lagi kluster juga dikesan hari ini dengan terdapat 234 kluster masih aktif di seluruh negara, katanya.

Maklumat terperinci lain berkaitan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik di laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.- BERNAMA