Lapan Muka Baharu Antara 10 Exco Melaka Angkat Sumpah Hari Ini

MELAKA, 26 Nov – Lapan muka baharu adalah antara 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka hari ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali, ketika mengumumkan barisan baharu ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri hari ini berkata mereka mewakili gabungan muka lama dan baharu daripada pelbagai latar belakang dan profesion untuk membantu memajukan lagi negeri dan memakmurkan rakyat.

Sulaiman sendiri memegang portfolio Exco Perancang Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Hal Ehwal Agama.

Lapan muka baharu yang dilantik dalam barisan itu ialah bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Seri Rauf Yusof sebagai Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan; Datuk Zaidi Atan (Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar); dan Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani).

Juga V. P. Shanmugam (Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO); Dr Muhamad Akmal Saleh (Exco Kesihatan dan Anti Dadah); Datuk Rais Yasin (Exco Pendidikan dan Teknologi) dan Ngwe Hee Sem (Exco Perpaduan Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna).

Datuk Kalsom Nordin adalah satu-satunya wanita yang dilantik dalam barisan baharu itu, memegang portfolio Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan.

Dua muka lama dalam barisan itu adalah Datuk Muhammad Jailani Khamis yang kekal sebagai Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan; dan Datuk Rahmad Mariman, diberi portfolio baharu iaitu Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir.

Rahmad sebelum ini Exco Kesihatan dan Anti Dadah. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.