Caruman Baharu KWSP Dikreditkan Ke Akaun 1 Bagi Tingkatkan Simpanan – Mohd Shahar

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Caruman baharu diterima oleh ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membuat pengeluaran dana akan dikreditkan dahulu ke Akaun 1 sepenuhnya hingga keseluruhan jumlah pengeluaran diambil dapat diganti semula, kata Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah.

Setelah itu, beliau berkata pecahan caruman akan kembali kepada 70 peratus ke Akaun 1 dan 30 peratus ke Akaun 2.

Shahar Abdullah“Ini adalah usaha kerajaan untuk menambah baik simpanan ahli yang telah membuat pengeluaran melalui skim i-Sinar dan i-Citra untuk meringankan beban ditanggung berikutan impak pandemik COVID-19,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata berdasarkan statistik semasa dan mengambil kira pengeluaran skim i-Sinar dan i-Citra, hanya 27 peratus daripada ahli aktif berumur 18 hingga 55 tahun dijangka mempunyai simpanan dalam Akaun 1 melebihi kuantum simpanan asas yang ditetapkan mengikut umur.

Beliau menjawab pertanyaan soalan tambahan oleh Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) mengenai usaha kerajaan dalam memastikan simpanan KWSP dalam Akaun 1 mencukupi untuk menampung keperluan asas selepas persaraan.

Sebelum itu, Shahar memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan juga terus meneliti kaedah-kaedah lain untuk memastikan Jaringan Keselamatan Sosial persaraan rakyat dapat kembali ke tahap sepatutnya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.