Pelajar Perlu Kuasai Kemahiran Abad Ke-21

PUTRAJAYA, 23 Nov – Kepesatan perubahan dunia, globalisasi, demografi, teknologi dan Revolusi Industri 4.0 menuntut para pelajar khususnya di institut pengajian tinggi tempatan menguasai sepenuhnya kemahiran abad ke-21, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Ini kerana, katanya kerjaya yang wujud pada hari ini mungkin akan lupus ditelan zaman dan kebanyakan majikan sekarang pula meningkatkan keperluan untuk mendapatkan pekerja yang mempunyai kemahiran dalam digital.

Memetik laporan Bank Dunia, Noraini berkata separuh daripada pekerjaan di Malaysia bakal digantikan dengan automasi dalam jangka masa panjang antaranya akauntan, operator mesin dan perkilangan, juruteknik kejuruteraan elektronik, juruteknik penerbangan dan juruteknik kejuruteraan elektrik.

“Automasi akan memberikan implikasi secara langsung dalam keperluan deskilling (peniadaan kemahiran), reskilling (pemahiran semula) dan upskilling (peningkatan kemahiran),” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran Program Professional Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Dana Skim Pinjaman Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) (Pekerja) di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), di sini hari ini.

Teks ucapan Noraini dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi Dr Mohd Zabri Yusoff. Turut hadir Naib Canselor UniMAP Prof Dr Zaliman Sauli.

Noraini berkata pekerja juga perlu meningkatkan kemahiran lain seperti sosioemosi, kemahiran berfikir secara kreatif selain mampu berdikari untuk melaksanakan pekerjaan.

Sementara itu, Noraini berkata program yang ditawarkan UniMAP akan memberi peluang kepada lebih 11,000 orang untuk mengikuti program pembelajaran sepanjang hayat (PSH) bukan formal dalam bidang TVET pembinaan.

Calon program berkenaan akan mengikuti pengajian lima tahun berbentuk upskilling dalam bidang pembinaan dan pengurusan fasiliti dan memperoleh sijil daripada UniMAP, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Kompetensi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.