Nasib Banduan Tamat Hukuman Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Persoalan mengenai jumlah banduan yang keluar penjara selepas tamat hukuman dari 2011 hingga 2021 dijangka ditanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu diajukan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) kepada Menteri Dalam Negeri yang ingin tahu usaha kerajaan dalam memastikan bekas banduan itu diterima oleh keluarga dan masyarakat serta mempunyai keupayaan untuk menyara hidup tanpa diskriminasi.

Turut terkandung dalam sesi itu soalan P. Prabakaran (PH-Batu) kepada Menteri Dalam Negeri mengenai jumlah rakyat Malaysia bukan Bumiputera dan Orang Asli yang sedang menjalani latihan atau bekerja sebagai Konstabel Polis Diraja Malaysia hasil program pengambilan khas untuk golongan itu.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada soalan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengenai program terkini kerajaan melibatkan advokasi pengguna selaras dengan perubahan tingkah laku serta trend pembelian akibat pandemik COVID-19.

Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan sambungan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan dan Kementerian Luar Negeri.

Semalam, sesi perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi hari pertama melibatkan Jabatan Perdana Menteri dengan Dewan Rakyat meluluskan peruntukan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 sebanyak RM6.03 bilion menerusi undi suara selepas mendapati lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju.

Dewan Rakyat bersidang hingga 16 Dis ini. – BERNAMA