KLYDA 2021 Promosi Jurusan Fesyen Dan Pakaian Di Politeknik, Kolej Komuniti

PUTRAJAYA, 22 Nov – Pertandingan Kuala Lumpur Young Designer Award (KLYDA) 2021 membuka ruang mempromosikan jurusan Fesyen dan Pakaian yang ditawarkan di politeknik dan kolej komuniti di negara ini, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

KLYDA 2021 adalah inisiatif Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) untuk mencungkil bakat, kreativiti serta daya inovatif terhadap rekaan fabrik lestari yang telah dikenal pasti berupaya mengwujudkan nilai tambah dalam kalangan pelajar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), katanya.

Pertandingan yang bermula Jun lepas itu terbuka kepada semua pelajar dan alumni kolej komuniti, politeknik, Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) di seluruh Malaysia.

“Ia juga menjadi salah satu platform bagi pelajar dalam bidang fesyen dan tekstil mengasah bakat, menambah kemahiran dan memperluas pengetahuan seiring dengan usaha untuk membentuk diri menjadi lebih dinamik, kreatif dan inovatif,” kata Noraini dalam ucapan penutup KLYDA 2021 bertemakan ‘Sustainable Fashion’ (Fesyen Lestari) malam tadi.

Kemuncak KLYDA 2021 menyaksikan dua pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Lim Kok Wing menewaskan 10 finalis lain untuk membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 serta piala. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.