Dewan Rakyat Lulus Peruntukan Jpm Dalam Bajet 2022 Peringkat Jawatankuasa

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Dewan Rakyat hari ini meluluskan peruntukan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2022 peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebanyak RM6.03 bilion menerusi undi suara selepas mendapati lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju.

Bajet itu merupakan sejumlah RM6,030,234,000 peruntukan anggaran perbelanjaan mengurus di bawah JPM antaranya melibatkan Parlimen Malaysia (RM148,382,900), Suruhanjaya Pilihan Raya (RM188,676,800) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (RM41,622,000).

Terdahulu, sesi perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi hari pertama yang melibatkan JPM disertai pembahas daripada blok kerajaan, pembangkang dan bebas sebelum penggulungan oleh menteri-menteri di JPM.

Menurut takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan dan penggulungan di peringkat Jawatankuasa untuk kementerian lain dijadual sehingga 13 Dis.

Sesi perbahasan dan penggulungan esok dijangka melibatkan peruntukan bagi Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Luar.

RUU Perbekalan 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Okt lepas diluluskan di peringkat dasar pada 18 Nov lalu setelah dibahas dua minggu dan melalui proses penggulungan selama empat hari.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.