MB Johor Ucap Tahniah Kepada BN Melaka

ISKANDAR PUTERI, 21 Nov – Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) Melaka yang mencatatkan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam dan berjaya membentuk kerajaan negeri.

Hasni berkata demikian semasa memulakan ucapannya pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 di Bangunan Sultan Ismail dekat sini, hari ini.

“Tahniah kepada BN Melaka yang mendapat kemenangan dalam PRN Melaka,” katanya ringkas.

Pada PRN Melaka semalam, BN mencatat kemenangan cemerlang dengan memperoleh dua pertiga kerusi DUN, sekali gus menerima mandat untuk kembali mentadbir kerajaan negeri.

Keputusan PRN itu menyaksikan gabungan UMNO, MCA dan MIC memperoleh 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dalam ucapannya pada sesi perbahasan turut mengucapkan tahniah.

“Terima kasih juga ditujukan kepada jentera BN negeri ini (Johor) yang sama-sama turun berkempen dan menyumbang kepada kejayaan ini,” jelasnya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.