Kerajaan Setuju Beri Pampasan Kepada Negeri Kekalkan Hutan Simpan – PM

BERA, 21 Nov – Kerajaan bersetuju memberi pampasan kepada negeri yang mengekalkan hutan simpan sebagai kawasan tadahan air dan melindungi dariapada sebarang kegiatan pembalakan haram.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan melalui kementerian berkaitan akan mengkaji formula yang sesuai bagi menetapkan jumlah pampasan tersebut.

“(Formula) jumlah pampasan itu mungkin boleh dibincangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Kewangan, Menteri Alam Sekitar dan Air serta Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Pemerkasaan Pendigitalan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

Hadir sama Mustapa, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan timbalannya Datuk Zahidi Zainul Abidin serta Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Terdahulu, Wan Rosdy ketika berucap pada majlis berkenaan berkata pihaknya berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan ganjaran kepada Pahang memandangkan negeri itu merizabkan hutan simpan sebanyak lebih 57 peratus.
– BERNAMA