Keputusan PRN Melaka Bukti Rakyat Mahu Kestabilan Politik – Abang Jo

KUCHING, 21 Nov – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam memberikan mesej jelas bahawa rakyat mahukan kerajaan dan situasi politik yang stabil, kata Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata keputusan semalam juga menunjukkan rakyat menolak budaya politik ‘katak’.

“Keputusan semalam bawa dua mesej jelas, yang pertama ialah rakyat mahukan kerajaan yang stabil.

“Yang kedua, (keputusan semalam menunjukkan) rakyat tidak suka budaya katak. Mesejnya sangat jelas rakyat sudah jemu dengan keadaan yang tidak pasti,” katanya.

Ketua Menteri Sarawak itu berkata demikian semasa majlis pecah tanah Jambatan Sungai Sarawak, Sejingkat di sini hari ini.

Projek Jambatan Sungai Sarawak di Sejingkat menelan kos kira-kira RM365 juta itu dijangka siap pada 2025.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, dalam PRN negeri itu.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh yang mengumumkan keputusan pilihan raya itu berkata Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.