Malaysia, Amerika Kukuhkan Kerjasama Keselamatan Siber, Ekonomi Digital

PUTRAJAYA, 18 Nov – Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk keselamatan siber, ekonomi digital dan pemindahan teknologi, di samping meningkatkan potensi kolaborasi antara pelbagai entiti di kedua-dua negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan Setiausaha Perdagangan AS Gina Raimondo yang melakukan lawatan sehari ke Malaysia, hari ini.

Katanya dalam pertemuan di pejabat kementeriannya di sini, beliau telah berkongsi dengan Raimondo pelbagai maklumat mengenai inisiatif digital media Malaysia termasuk Malaysia Digital Economy Blueprint (MyDIGITAL), rancangan kerajaan untuk pelaksanaan 5G, serta kepentingan keselamatan siber.

“Perbincangan berjalan dengan baik, dan kita telah memberi penerangan mengenai program digital nasional dan blueprint yang dilancarkan awal tahun ini,” katanya kepada media selepas pertemuan itu.

Annuar berkata beliau juga mengambil peluang untuk menerangkan kepada pemimpin Amerika Syarikat itu mengenai keutamaan kerajaan untuk menarik pelabur dari luar negara yang berkaitan dengan data centres, submarine cables dan juga aktiviti cloud computing.

“Ini adalah antara perkara yang kita beri tumpuan untuk era digital, yang kita rasakan dengan adanya kemudahan termasuk 5G, kita berupaya menarik satu pelaburan baharu yang berasaskan technology-driven dan aktiviti berkaitan kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) serta teknologi maju,” katanya.

Annuar berkata Amerika Syarikat turut memperkenalkan beberapa teknologi baharu termasuk sistem Open Radio Access Network (O-RAN) dan mengajak Malaysia untuk mengenali sistem yang lebih canggih itu, kerana pada masa ini Malaysia masih menggunakan sistem Multi-Operator Core Network (MOCN).

Beliau berkata perkara itu perlu diteliti dan dikaji Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Yang penting kita sama-sama bersetuju untuk membuat langkah susulan terhadap beberapa perkara spesifik yang berkaitan dengan keselamatan siber, kerjasama antara entiti milik Malaysia dan Amerika, berkaitan dengan keselamatan siber, dan juga kerjasama antara syarikat, dan pelaburan.

“Kita juga menggalakkan kehadiran syarikat-syarikat Amerika untuk datang dan melabur serta memindahkan teknologi ke sini,” katanya.

Ini merupakan lawatan pertama Raimondo ke Asia untuk mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai kerajaan serta pemimpin perniagaan di Jepun, Singapura dan Malaysia, antara 15 dan 18 Nov. – BERNAMA