Sinovac, AstraZeneca Dipertimbang Sebagai Dos Penggalak – Khairy

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mempertimbangkan vaksin Sinovac dan AstraZeneca digunakan untuk suntikan dos penggalak, kata menteri berkenaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata perkara itu sedang dibincangkan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dalam mesyuarat yang sedang dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Antara agenda dalam mesyuarat ini adalah akan mempertimbangkan Sinovac dan AstraZeneca sebagai dos penggalak dan apabila PBKD membuat keputusan saya akan umumkan dasar kita,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau membangkitkan perkara itu bagi menjawab celahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk membolehkan vaksin Sinovac diberikan sebagai dos penggalak terutama kepada penerima vaksin jenis itu.

Bagi mempercepatkan pelaksanaan pemberian suntikan dos penggalak di negara ini, Khairy berkata KKM akan mengembalikan beberapa pusat pemberian vaksin untuk tujuan itu, selain penggunaan klinik-klinik swasta serta perubatan awam.

Menyentuh isu moratorium terhadap kesalahan percubaan bunuh diri, Khairy berkata KKM menyediakan Memorandum Jemaah Menteri berhubung hal itu di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan (KK).

“Memorandum ini memohon Jemaah Menteri untuk meluluskan tempoh moratorium segera iaitu tiada sebarang dakwaan sabitan di bawah Seksyen 309 KK bagi kes percubaan bunuh diri sehingga pemansuhan atau pindaan seksyen itu dilaksanakan di Parlimen.

“Memorandum ini telah dipersetujui oleh pihak pengurusan kementerian (KKM) dan dalam semakan unit kabinet KKM untuk dikemukakan pada jemaah menteri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KKM akan menilai semula Garis Panduan Pelaksanaan Perintah Fi (Perubatan) (Kos Perkhidmatan) 2014 kepada golongan kanak-kanak bawah 18 tahun bukan warganegara yang ibu atau bapanya merupakan warganegara atau pemastautin tetap, dalam masa terdekat.

“Berdasarkan garis panduan ini, kanak-kanak berumur 18 tahun dan ke bawah layak diberikan perkhidmatan kesihatan di fasiliti KKM pada kadar caj warganegara sekiranya bapa atau ibunya adalah seorang warganegara atau pemastautin tetap di Malaysia.

“Buat masa ini, kelayakan ini adalah tertakluk kepada pembuktian dokumen status taraf kewarganegaraan Malaysia kanak-kanak itu seperti dokumen sijil kelahiran Malaysia atau kad pengenalan MyKid atau MyKad yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya. – BERNAMA