Malaysia Komited Lindungi Semua Kanak-Kanak – PM Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Selaras konsep Keluarga Malaysia dan pelantikan negara untuk menduduki kerusi Human Rights Council (HRC), kerajaan bertanggungjawab melindungi semua kanak-kanak di negara ini tanpa mengira kewarganegaraan, bangsa, agama, kelahiran atau status-status lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Malaysia juga kekal komited memberi perlindungan kepada kanak-kanak terutamanya dari golongan rentan, mangsa keganasan seksual dan keganasan rumah tangga.

Dalam ucapannya sempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2021 di bangunan Parlimen di sini hari ini, beliau berkata antara Jun 2020 dan Ogos tahun ini 1,721 kes keganasan seksual terhadap kanak-kanak telah direkodkan manakala 2,162 kes aktif sedang dalam perbicaraan.

“Kanak-kanak amat berharga di hati saya kerana mereka merupakan anugerah Tuhan yang amat berharga kepada kita. Saya percaya, adalah tidak memadai jika kita hanya memperuntukkan satu hari dalam setahun untuk memperingati hak dan keperluan yang sepatutnya dinikmati mereka.

“Kita sebenarnya perlu berusaha lebih untuk melindungi kanak-kanak kerana ada di antara mereka bakal menjadi pemimpin yang hebat di masa akan datang. Setiap kanak-kanak mempunyai hak asasi untuk mendapatkan pendidikan dan membesar dalam suasana yang kondusif agar mereka mampu menjadi individu yang boleh mencapai potensi penuh dan mengejar impian mereka,” katanya.

Ismail Sabri berkata perlindungan sama turut diberikan kepada kanak-kanak dalam tahanan, dan komitmen Malaysia dalam menangani isu itu dapat dilihat menerusi penubuhan program Alternative to Detention (ATD) apabila kerajaan berikrar sebagai ahli HRC.

Menurutnya sejak sekian lama, Malaysia kekal komited berhubung hal penahanan kanak-kanak di negara ini.

“Kepentingan terbaik mereka mesti diambil kira terutamanya apabila menangani keperluan kanak-kanak yang terdedah, termasuk kanak-kanak pelarian ataupun refugee. Ini adalah selaras dengan prinsip Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak,” katanya.

Perdana Menteri berkata dasar perlindungan kanak-kanak amat perlu pada masa ini bagi menggalakkan setiap agensi, organisasi dan anggota masyarakat memberi keutamaan kepada perlindungan kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama.

Beliau berkata dasar itu selaras dengan falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) 1995 dan Akta Kanak-Kanak 2001 yang menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak demi kepentingan terbaik mereka.

Ismail Sabri berkata Malaysia berpegang teguh dengan matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) yang menjadi agenda global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), agar tiada kanak-kanak yang terpinggir dalam pembangunan negara dan mereka berhak untuk hidup dengan selamat serta gembira.

“Pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah mengakibatkan perubahan besar terhadap sosio ekonomi di seluruh dunia, tetapi wabak yang melanda ini tidak harus menggoyahkan keazaman kita dalam memberi perlindungan dan kesejahteraan kepada kanak-kanak,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata usaha bersepadu sektor awam dan swasta serta masyarakat secara amnya sangat diperlukan bagi mewujudkan persekitaran yang lebih baik dan selamat untuk kanak-kanak membina masa depan mereka.

Beliau berkata kerajaan teguh dalam memperkukuh rangkaian penuh hak semua kanak-kanak di bawah bidang kuasa Malaysia serta meningkatkan kerjasama pelbagai sektor dan antara agensi termasuk pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan antarabangsa di bawah PBB.

“Melangkah ke hadapan, kita mesti melakukan yang terbaik untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu bagi menangani isu global berkaitan kanak-kanak. Marilah kita berikrar untuk melindungi anak-anak kita daripada segala amalan yang memudaratkan dan diskriminasi kerana mereka adalah bunga-bunga taman Allah SWT,” katanya.

Pada majlis itu Ismail Sabri turut menerima pokok sebagai simbolik kepada Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2021. Hari Kanak-kanak Sedunia disambut pada 20 Nov setiap tahun. – BERNAMA