Kerajaan Perak Kemukakan 1,389 Projek Keutamaan Bernilai RM27.58 Bilion – RMK12

IPOH, 17 Nov – Kerajaan negeri Perak telah mengenal pasti sebanyak 1,389 projek keutamaan yang telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata keseluruhan projek yang dikenal pasti itu merangkumi nilai siling berjumlah RM27.58 billion.

“Antara projek utama yang telah dikenal pasti adalah Pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) dan pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata SVTP adalah taman perindustrian baharu di Chemor yang melibatkan kawasan seluas 1,139.2 hektar dan dijangka menjadi pemacu sektor pembuatan berteknologi tinggi serta pemangkin Revolusi Industri 4.0.

Kawasan itu, katanya, akan dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam tempoh empat tahun bermula tahun ini.

Menurut Saarani, SVTP akan memfokuskan kepada lima sektor pembuatan utama berteknologi tinggi iaitu Sektor Elektrik dan Elektronik, Sektor Peranti Perubatan dan Farmaseutikal, Sektor Sistem Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV), Sektor Pertanian Pintar dan Sektor Ekonomi Digital.

Sementara itu, beliau berkata, WCE pula adalah projek berimpak tinggi yang dijangka siap sepenuhnya pada 2024, iaitu buat masa ini Seksyen Lapan, Sembilan, dan 10 telah mula dibuka kepada orang ramai, melibatkan kos RM1.9 billion bagi jajaran di Perak.

“Pembukaan lebuh raya ini akan meningkatkan kesalinghubungan dan memudahkan akses ke kawasan pantai barat dari utara ke selatan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, menurut EPU dalam satu kenyataan, siri jerayawara RMK12 yang diadakan bersama kerajaan negeri Perak hari ini memberi fokus kepada pembangunan digital.

Menurut kenyataan itu, pada sesi libat urus yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, kerajaan negeri Perak telah menekankan mengenai pendigitalan khususnya untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), selain kepentingan kualiti liputan yang perlu diberi perhatian.

“Infrastruktur digital di Perak sedang ditambah baik melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilaksanakan bermula tahun 2020 sehingga 2022,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut pencapaian JENDELA di Perak sehingga suku keempat tahun ini adalah membina 176 buah menara baharu bagi memperluas liputan 4G dan sehingga kini sebanyak 46 menara baharu telah siap dibina.

Selain itu, sebanyak 1,596 daripada 1,882 stesen pemancar untuk liputan 4G telah dinaik taraf, manakala 107,944 daripada 252,475 premis telah menerima capaian gentian optik.

“73 buah perkampungan Orang Asli juga akan menerima liputan jalur lebar satelit tanpa wayar dan status terkini, semuanya masih dalam pelaksanaan,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Okt lepas telah bersetuju menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negeri yang dipengerusikan Mustapa dan dianggotai exco kerajaan negeri yang memegang portfolio digital.

Majlis itu bertujuan mengharmonikan pelan pembangunan digital di peringkat pusat dan negeri berdasarkan RMK12, Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR Negara, selain memastikan kualiti ketersambungan digital dan akses kepada internet berada pada tahap yang terbaik untuk manfaat kepada rakyat.

“Pendigitalan amat penting untuk pemulihan ekonomi akibat COVID-19 dan kemampanan ekonomi. Majlis Ekonomi Digital dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negeri amat penting untuk pusat dan negeri dapat bergerak seiring mencapai sasaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA