BN Optimis Bentuk Kerajaan, Mampu Kuasai 18 Kerusi – Mohamad Hasan

MELAKA, 16 Nov – Barisan Nasional (BN) meramalkan mampu menguasai 18 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, sekali gus membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

Keyakinan itu dinyatakan Pengarah Pilihan Raya BN yang juga Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berdasarkan kajian sikap yang dilaksanakan parti sepanjang tempoh PRN dilaksanakan, selain data pengundi yang konsisten memilih BN sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) sehingga PRU14.


“Kalau boleh kita nak menang 20 kerusi…kita cuba untuk kekalkan yang 13 kerusi (dimenangi pada PRU14) dan kita punya sasaran adalah kepada tumpuan lima lagi kerusi, (menjadikan keseluruhan) 18 kerusi.

“Tetapi jika kita dapat lepasi jumlah 15 kerusi (majoriti mudah untuk membentuk kerajaan), pun dah syukur Alhamdulillah, kita boleh tubuhkan kerajaan kita sendiri.

“Jadi untuk mendapatkan satu kerajaan yang stabil, kita mesti tubuh kerajaan di atas kekuatan kita sendiri. Jadi kita tak akan terus setiap hari diancam, diugut nak tarik diri. Kalau selagi perkara itu berlaku, kerajaan tak akan stabil,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama hari ini.

Pada PRN Melaka, BN bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan daripada jumlah itu, UMNO bertanding di 20 kerusi, tujuh MCA dan satu MIC.

Pada PRU14, UMNO menang di kerusi DUN Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Asahan, Sungai Udang, Pantai Kundor, Ayer Molek, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.

Ditanya sama ada BN sedia membentuk kerajaan campuran bersama pihak lain sekiranya hanya mampu mempertahankan 13 kerusi yang dimenangi, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata parti itu sedia merintis kerjasama dengan mana-mana pihak dan tidak hanya terhad kepada Perikatan Nasional (PN) sahaja.

“Kita terbuka kerjasama dengan sesiapa…tak bermaksud dengan PN sahaja, dengan sesiapa boleh… apa pasal semua orang boleh bekerjasama dengan semua orang, UMNO tak boleh. Ibarat cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar dengar. Jangan tutup pintu rapat sangat,” katanya.

Selain itu, Mohamad berkata bagi meremajakan parti dan mempamerkan keterbukaan, BN mengambil langkah berani dengan mempertaruhkan calon-calon muda bagi PRN Melaka bagi memenuhi selera pengundi.

“Saya tak mahu beretorik dan kita kata kita nak meremajakan parti, tapi balik-balik muka yang sama dan bila masa saya nak tampilkan muka (calon) muda.

“Esok kalau kita buat macam itu, anak muda akan lari daripada UMNO. Parti-parti lain menggamit anak muda seperti Dap, PKR,Bersatu, PAS… UMNO masih duduk dalam gua dia…tak boleh.

“Jadi PRN ini melambangkan (bahawa) yang UMNO benar-benar mentransformasikan parti. Ini yang saya buat. Betul ini satu perjudian, but inilah wajah UMNO yang nak saya bawa,” katanya.

Ditanya mengenai peluang BN di kerusi panas iaitu Tanjung Bidara yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata pertandingan di kawasan berkenaan dijangka sengit.

“Sengitlah, saya tak kata akan jadi kerusi Bersatu,” katanya.

Ab Rauf akan ditentang oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin mewakili PN dan Zainal Hassan daripada Pakatan Harapan (PH).

Bagi tiga kerusi iaitu Asahan, Duyong dan Gadek yang menyaksikan pertembungan enam penjuru, Mohamad berkata situasi berkenaan memberi kelebihan buat BN.

Mengenai Muafakat Nasional (MN) yang dipelopori bersama PAS, beliau berkata meskipun tiada kerjasama membabitkan kedua-dua parti itu pada PRN Melaka, namun kerjasama boleh diadakan pada masa akan datang termasuk membabitkan soal penyatuan ummah.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

SPR menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini (20 Nov). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.