Sebanyak 78 Projek Perumahan Swasta Terbengkalai Di Semenanjung Malaysia – Reezal

KUALA LUMPUR, 28 Okt – Sebanyak 78 projek perumahan swasta membabitkan 17,605 unit rumah dan 11,735 orang pembeli disahkan terbengkalai di Semenanjung Malaysia, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata pihaknya pada tahun ini menyasarkan tujuh projek terbengkalai dapat dipulihkan menerusi pendekatan rundingan, mudah cara dan penguatkuasaan.

“Sehingga kini, sebanyak empat projek telah berjaya dipulihkan dan tiga projek lagi dijangka selesai menjelang akhir 2021,” katanya kepada media selepas Sesi Walkabout YB Menteri KPKT ke Projek Prumahan Swasta Terbengkalai, Taman Selayang Mutiara (Kristal), Selayang, dekat sini hari ini.

Turut hadir Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail.

Reezal Merican berkata di Selangor sahaja terdapat 32 projek terbengkalai yang melibatkan 10,855 unit kediaman.

“Di kawasan Selayang termasuk Taman Mutiara ini, terdapat tujuh projek terbengkalai yang terdiri daripada 3,002 unit kediaman,” katanya.

Tambahnya, KPKT sedang meneliti semua projek perumahan yang sakit, lewat dan terbengkalai melalui penubuan sebuah ‘War Room’ yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

“’War Room’ ini berperanan melihat usaha bersepadu bagi memulihkan semula projek-projek terbengkalai agar boleh didiami selaras dengan matlamat agenda Malaysia Berdaya Huni, iaitu gagasan oleh kementerian.

“KPKT juga sedang mengkaji menambah baik kriteria pemulihan projek dengan dana kerajaan dalam menangani masalah projek-projek perumahan swasta terbengkalai yang telah diduduki pembeli tetapi pemaju masih belum memperoleh sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) atau Sijil Layak Menduduki (CFO) kerana kemudahan infrastruktur masih belum disiapkan,” katanya.

Mengenai projek terbengkalai di Taman Selayang Mutiara (Kristal), Reezal Merican berkata pihaknya telah selesai melaksanakan proses perolehan bagi memulihkan blok Kristal yang mengandungi 500 unit termasuk masing-masing satu unit taska dan surau.

“Kontraktor Sunissa Sdn Bhd telah dilantik sebagai kontraktor penyelamat pada 11 Jun 2021 dengan tempoh kontrak selama dua tahun.

“Seramai 489 pembeli daripada 498 unit (sembilan belum terjual) akan mendapat manfaat setelah kediaman mereka disiapkan pada pertengahan tahun 2024,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.