Pan Borneo Jajaran Julau Dijangka Dibuka Secara Rasmi November Ini

JULAU, 28 Okt – Lebuh Raya Pan Borneo bagi jajaran Julau dijangka dibuka secara rasminya November ini, menurut Pengurus Projek Pakej Kontrak Kerja 07 (WPC07) Pejabat Zon Tengah, Unit Lebuh Raya Pan Borneo Jabatan Kerja Raya Sarawak SyahruI Ismadi Ismail hari ini.

Syahrul Ismadi berkata jajaran bermula dari KM1+500 selepas Simpang KJD and Institut Perguruan Rajang hingga ke KM28+500 sebelum Jambatan Sungai Jikang itu kini di fasa akhir untuk mendapatkan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC).

“Jajaran ini merupakan sebahagian daripada Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang telah siap dibina dan CPC akan dikeluarkan kepada kontraktor utama tidak lama lagi,” katanya sambil menambah laluan empat lorong dua hala telah dibuka sepenuhnya kepada orang awam pada 20 Okt lepas.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penjanaan Sistem Lampu Isyarat di Persimpangan Julau oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Meluan Rolland Duat Jubin di sini hari ini.

Katanya kerja-kerja pembinaan jajaran Julau bermula pada 16 Sept 2016 dan kerja-kerja menanam cerucuk untuk jejambat persimpangan Julau bermula pada Jun 2017.

Justeru, Syahrul Ismadi menasihatkan pengguna lebuh raya itu supaya berhati-hati semasa memandu di laluan berkenaan dan mematuhi segala arahan papan tanda serta peralatan trafik yang dipasang khususnya penggunaan pusingan-P yang telah disediakan di beberapa lokasi demi keselamatan mereka.

“Jajaran Julau merupakan satu daripada tiga jajaran di bawah Pakej Kontrak Kerja 07 yang meliputi kerja-kerja pembinaan jalan dari Persimpangan Bintangor ke Persimpangan Julau manakala dua lagi jajaran ialah jajaran Sibu iaitu dari Lapangan Terbang Sibu ke Jambatan Sungai Kua dan jajaran Batang Rajang (Jambatan Batang Rajang) yang telah dianugerahkan CPC pada Oktober tahun lepas,” katanya.

SyahruI Ismadi berkata penjanaan sistem lampu isyarat di persimpangan Julau tersebut dijangka akan memudahkan dan meningkatkan tahap keselamatan penggunaan lebuh raya itu.

Sementara itu, Rolland berkata penduduk kawasan DUN Meluan berasa bangga dan gembira berikutan siapnya projek berimpak tinggi itu.

Jajaran tersebut sememangnya telah lama dinanti-nantikan oleh penduduk di kawasan tersebut, katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.