RUU Perbekalan 2022 Dijangka Dibaca Kali Pertama Di Dewan Rakyat Hari Ini

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 bagi bacaan kali pertama dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, rang undang-undang itu akan dikemukakan oleh Menteri Kewangan.

Selain itu, Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021 turut dijangka dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Dalam Negeri hari ini.

Pada sesi jawab lisan pula, persoalan sekiranya kerajaan bakal melanjutkan pemberian moratorium kepada individu dan perusahaan serta memperkenalkan pemberian moratorium tanpa faedah terakru bakal dibangkitkan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) kepada Menteri Kewangan.

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) pula meminta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan sekiranya kementerian mempunyai perancangan untuk menjadikan subjek pengurusan kewangan sebagai subjek mandatori di peringkat sekolah menengah bagi mengelak lebih ramai anak muda terdedah dengan masalah kewangan pada masa depan.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) bertanyakan Menteri Pengajian Tinggi mengenai langkah kerajaan dalam memastikan kelangsungan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang kebanyakannya dilaporkan memerlukan bantuan akibat tidak dapat beroperasi seperti biasa dalam tempoh 12 hingga 18 bulan ini disebabkan pandemik COVID-19.

Selain itu, Teo Nie Ching (PH-Kulai) pula meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan bilakah bantuan bulanan RM1,000 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk golongan orang kurang upaya (OKU) akan dilaksanakan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 32 hari hingga 16 Dis. – BERNAMA