Permohonan Moratorium Di Bawah Pemulih Masih Dibuka – MOF


KUALA LUMPUR, 27 Okt – Permohonan moratorium di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) masih dibuka kepada peminjam yang memerlukan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata bank-bank bersedia untuk memberi bantuan bayaran balik pinjaman yang terjejas dan memerlukan justeru, mereka hanya perlu menghubungi bank masing-masing.
Shahar Abdullah
“Bagi peminjam lain yang juga terkesan dan memerlukan bantuan bayaran balik pinjaman selepas pakej PEMULIH tamat, bank-bank akan terus menyediakan pakej bantuan termasuk pengurangan bayaran ansuran bulanan mengikut kemampuan peminjam,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) sama ada kerajaan akan melanjutkan pemberian moratorium kepada individu dan perusahaan di samping sama ada akan memperkenalkan pemberian moratorium tanpa faedah terakru.

Mohd Shahar berkata industri perbankan telah mengumumkan Skim Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) bagi golongan 50 peratus terbawah kumpulan pendapatan (B50) iaitu isi rumah berpendapatan sehingga RM5,880 yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19, pada 14 Okt lepas.

Beliau berkata skim yang menyeluruh ini bukan sahaja membantu peminjam membuat pembayaran balik pinjaman mengikut kemampuan mereka, malah peminjam juga mendapat manfaat menerusi nasihat pengurusan kewangan yang boleh meningkatkan daya tahan kewangan mereka dalam jangka panjang.

“Di bawah program ini, peminjam golongan B50 yang memenuhi syarat akan mendapat pengecualian faedah selama tiga bulan dan juga pilihan untuk mengurangkan bayaran ansuran pinjaman sehingga 24 bulan keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata peminjam juga boleh memohon pelbagai program yang ditawarkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) seperti Program Pengurusan Hutang, Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil dan Skim Sokongan Daya Tahan Kewangan.

Program-program ini dilaksanakan dengan kerjasama dan sokongan institusi perbankan, dan mempunyai ciri-ciri seperti ansuran bulanan yang berkurangan, pelanjutan tempoh bayaran balik dan program sokongan daya tahan kewangan, katanya. – BERNAMA