Najib Saman Tommy Thomas Berhubung Dakwaan Salah Guna Kuasa Mendakwanya Dalam Skandal 1MDB

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan saman terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya dalam beberapa kes termasuk membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menuntut ganti rugi lebih RM1.9 juta.

Bekas perdana menteri itu memfailkan saman tersebut menerusi Tetuan Raj, Ong & Yudistra di Mahkamah Tinggi di sini pada 22 Okt lepas dengan menamakan Thomas dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama dan kedua.

Dalam pernyataan tuntutan, Najib, 68, mendakwa beliau telah dituduh di mahkamah membabitkan kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadapnya sebahagian daripada perbuatan yang telah dirancang lebih awal oleh Thomas dan ia juga selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan ketika itu.

Beliau mendakwa, pada 2015, Thomas telah bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan kesalahan-kesalahan dan salah urus yang kononnya dilakukan kepada dana 1MDB dan turut menasihati Dr Mahathir supaya mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap Najib berhubung penglibatannya dalam 1MDB.

Najib mendakwa pada 2016, Thomas dalam artikel yang diterbitkan oleh Malaysiakini telah mengkritik dan menuduh beliau mencuri dana 1MDB.

Beliau berkata pada 10 Mei 2018, Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri dan beliau kemudiannya melantik Thomas sebagai Peguam Negara pada 4 Jun 2018.

Najib mendakwa sekitar Mei 2018, Jabatan Imigresen telah menghalangnya dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor daripada meninggalkan negara ini kononnya terdapat bukti mencukupi untuk menyiasat beliau (Najib) bagi skandal 1MDB dan larangan itu dikenakan beberapa bulan sebelum apa-apa pertuduhan dikemukakan terhadapnya.

“Ini dilakukan hanya untuk memalukan saya dan menimbulkan pendapat negatif oleh masyarakat umum terhadap saya,” menurut Najib dalam pernyataan tuntutan itu.

Menurut pernyataan tuntutannya, Najib mendakwa Thomas tetap meneruskan pendakwaan terhadapnya walaupun pihak SPRM memaklumkan bahawa mereka tidak menjumpai apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh bekas perdana menteri itu meskipun siasatan telah dilakukan.

Najib mendakwa Thomas turut menuduhnya sebagai seorang penjenayah dan bersubahat dengan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho dan bersekongkol dengan lelaki itu untuk mendapatkan kekayaan dana milik 1MDB, malah bekas peguam negara itu mendakwa Najib bertekad untuk menutup kesalahannya berkenaan 1MDB oleh pihak berkuasa asing.

Menurut Najib, sekitar Mei 2018, beberapa hartanah yang kononnya dikaitkan dengan beliau telah diserbu dan barang-barang telah disita namun selepas itu sejumlah wang yang disita dalam serbuan itu diperintahkan oleh mahkamah untuk dipulangkan.

Oleh itu, Najib mendakwa Thomas telah menyalahgunakan kuasanya dan berniat jahat untuk mempengaruhi dan mengarahkan penyiasatan terhadapnya serta merancang untuk memenjarakan beliau selain mendakwa pendakwaan terhadapnya tidak mengikut undang-undang.

Akibat tindakan Thomas itu, Najib mendakwa beliau kehilangan reputasi dalam karier politiknya kerana beliau sebelum ini adalah tokoh masyarakat terkemuka selain dihormati oleh pemimpin-pemimpin negara asing termasuk Barack Obama dan Donald Trump.

Oleh itu, Najib menuntut secara bersama dan berasingan daripada Thomas dan kerajaan satu pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam dan menuntut kerugian berjumlah lebih RM1.9 juta termasuk bayaran rundingan untuk pasukan audit melakukan semakan dokumentasi bagi penyediaan fakta-fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya.

Turut dituntut ganti rugi am, teladan dan tambahan, faedah, kos dan relif lain yang sesuai untuk mahkamah.

Pengurusan kes itu ditetapkan pada 19 Nov ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurliana Ismail secara dalam talian. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.