PRN Melaka: K’jaan Imbangi Tuntutan Keselamatan Dengan Demokrasi – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Kerajaan terpaksa mengimbangi antara tuntutan kesihatan dan keselamatan dengan tuntutan amalan demokrasi dalam meneruskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kerajaan memahami kebimbangan rakyat, justeru PRN tersebut perlu diadakan dengan bersyarat dan melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Apabila kita membuat keputusan untuk sembah kepada ke bawah duli Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) untuk Tuanku pertimbangkan tidak mengisytiharkan darurat bermakna bahawa PRN (Melaka) terpaksa diadakan.

“Persoalannya sekarang apabila keputusan dibuat untuk tidak mengisytiharkan darurat dan PRN (dijalankan), ia bersyarat dengan SOP-SOP yang ketat supaya apa yang kita jayakan selama ini dalam mengharungi tindakan dan respons terhadap COVID-19 tidak terjejas kerana satu pilihan raya negeri,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Hishammuddin yang bertanggungjawab mengetuai pengurusan pandemik di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata kerajaan akan memastikan tidak ada perkara-perkara yang boleh menimbulkan atau mengundang kemarahan rakyat terhadap ahli-ahli dan parti politik sebelum penamaan calon pada 8 Nov.

Mengulas mengenai larangan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), Ahli Parlimen Sembrong itu percaya langkah itu diambil kerana trend yang berlaku sebelum ini apabila banyak perhimpunan serta majlis diadakan walaupun mungkin dianggap sosial tetapi ada kaitan dengan pilihan raya.

“Jadi, itu trend yang kita tidak boleh benarkan ketika ini kerana SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) hanya dipertanggungjawabkan dalam perjalanan pilihan raya (PRN) Melaka selepas 8 Nov.

“Sebelum 8 Nov tanggungjawabnya di bawah Akta 342 berada di atas bahu KKM, dipantau oleh MKN dan dikuat kuasa oleh KDN (Kementerian Dalam Negeri),” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula 25 Okt hingga 27 Nov 2021.

Menurut Khairy, larangan tersebut ditetapkan meskipun SPR bakal mengumumkan SOP PRN dalam masa terdekat.

PRN Melaka pada 20 Nov ini diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Okt apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.