Kerajaan Peruntuk RM21 Juta Laksana Program PEKB Tahun Ini

MELAKA, 26 Okt – Kerajaan memperuntukkan RM21 juta bagi melaksanakan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) dengan sasaran 2,000 peserta tahun ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM11 juta diluluskan menerusi bajet pembangunan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) manakala RM10 juta menerusi bajet Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

Beliau berkata program PEKB dilaksanakan bertujuan meningkatkan kemahiran kumpulan sasar B40 supaya mampu mengusahakan perniagaan yang boleh memberikan pendapatan lebih tinggi seterusnya meningkatkan kualiti hidup dan keluar daripada kemiskinan.

“Program PEKB agak terganggu disebabkan penularan COVID-19 tetapi Alhamdulillah, setelah kadar vaksinasi melebihi 90 peratus dan kes positif dilihat makin menurun, jadi program ini dibenar dilaksanakan semula bermula bulan ini.

“Kita kini sedang mencari peserta yang berminat untuk mengubah taraf hidup mereka dengan menjalani latihan bagi meningkatkan kemahiran dan bakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program PEKB Fasa Dua 2021 di sini hari ini.

Ismail berkata sebanyak 13,491 peserta berjaya dilatih dalam tempoh lapan tahun sejak 2013, melibatkan 14 bidang kemahiran yang ditawarkan 30 badan bukan kerajaan (NGO) antaranya makanan dan minuman, peruncitan dan pemasaran, jahitan, dandanan diri, reka bentuk serta percetakan.

Beliau berkata peserta program berkenaan akan dipantau selama enam bulan bagi memastikan penjanaan pendapatan mengikut Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menetapkan KPI pendapatan peserta sekurang-kurangnya RM600 sebulan dalam tempoh enam bulan pemantauan,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sijil penyertaan kepada 60 peserta dari Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur yang menjalani latihan masakan kuih tradisional dan urutan postnatal selama tujuh hari bermula 20 Okt lepas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.