Dewan Negara Lulus Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020 yang bertujuan menambah baik pentadbiran levi keuntungan luar biasa.

Rang Undang-Undang yang dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan I Mohd Shahar Abdullah itu diluluskan dengan suara terbanyak Ahli Dewan Negara selepas bacaan kali ketiga.

Terdahulu, seramai tujuh senator mengambil bahagian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020 yang mempunyai empat fasal.

Ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Mohd Shahar berkata pindaan dalam RUU berkenaan adalah untuk memberi keadilan kepada pemain industri.

“Saya harap sangat hari ini kerajaan mengikuti apa yang telah dikehendaki pemain industri untuk memberi keadilan dalam Rang Undang-Undang ini. Pindaan ini juga telah dilakukan hasil libat urus bersama pemain industri.

“Sudah pasti ia adalah kehendak pemain industri dan kita harap pemain industri juga kena bertindak adil dengan kementerian supaya mereka dapat memberi kerjasama. Niat kita ialah memberi keadilan dan keadilan ini mesti dilakukan di antara kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata RUU itu juga memberi kuasa kepada Menteri Kewangan dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia meremit keseluruhan atau mana-mana bahagian penalti yang perlu dibayar.

“Kuasa Menteri Kewangan dan Ketua Pengarah Kastam untuk meremitkan cukai dan penalti ini adalah juga selaras dengan semua perundangan cukai tidak langsung lain seperti Akta Kastam 1967, Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dan Akta Cukai Jualan 2018,” katanya.

RUU itu diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat pada 12 Okt selepas bacaan kali ketiga oleh Mohd Shahar.- BERNAMA